sfhzuraz Publish time 23-2-2024 04:22 PM

Usah malu mengaji al-Quran biarpun sudah berusia

Usah malu mengaji al-Quran biarpun sudah berusia

OlehMOHD ISKANDAR OTHMAN
23 Februari 2024 03:28pm


https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/02/23/2548416.jpg
Rumah bekas Imam Masjid Al-Ehsan, Pongsu Seribu, Allahyarham Ustaz Abdullah Salleh dijadikan Rumah Ngaji Pemuda. (Gambar kecil dari kiri: Mohamad Syukri, Muhammad Hafiz, dan Muhammad Hafiz)



KEPALA BATAS - Bermula hanya sembang-sembang di kedai kopi antara dua sahabat mengenai kelas pengajian al-Quran dewasa di kawasan Pongsu Seribu akhirnya membawa kepada penubuhan Rumah Ngaji Pemuda yang mula dibuka sejak sebulan lalu.
Menjadikan kawasan ruang tamu rumah bekas Imam Masjid Al-Ehsan, Pongsu Seribu, Allahyarham Ustaz Abdullah Salleh sebagai tempat mengaji, kini seramai 17 orang pemuda yang juga rakan sekampung akan berkumpul bagi mengikuti kelas yang diadakan dua kali seminggu pada waktu malam.


Penggerak Rumah Ngaji Pemuda, Mohamad Syukri Fadzail berkata, sambutan menggalakkan dari anak muda serta penduduk setempat membolehkan kelas mengaji itu dapat dijalankan dalam keadaan selesa.

https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/02/23/2548414.jpg
Rumah Ngaji Pemuda di Pongsu Seribu berjaya menarik golongan muda untuk kembali mendalami al-Quran.



Menurutnya, selepas cadangan untuk membuka rumah ngaji itu tersebar, pihaknya menerima sumbangan dari penduduk setempat seperti papan rehal dan papan putih untuk digunakan dalam rumah ngaji berkenaan.

"Alhamdulillah, walaupun kelas mengaji ini dijalankan dalam kumpulan kecil namun semangat serta sokongan anak-anak muda di sini dapat mengimarahkan rumah ngaji dengan mendalami ilmu agama selain belajar tajwid serta bacaan al-Quran."Di sini, kelas yang dijalankan secara santai termasuk dibimbing oleh tenaga pengajar muda yang mungkin membuatkan mereka lebih selesa untuk belajar meskipun belum lancar atau dapat menguasai bacaan dengan baik,"katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
Bagi Ketua Biro Pemuda Masjid Al Ehsan Pongsu Seribu, Muhammad Hafiz Hashim pula berkata, kesedaran kepada golongan muda untuk kembali dan mencintai al-Quran perlu dipupuk meskipun terlalu sibuk dengan urusan harian.





https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/02/23/2548415.jpg
Jangan malu untuk belajar al-Quran walaupun usia kian meningkat.



Katanya, melalui pembukaan Rumah Ngaji Pemuda ini dapat memberi peluang kepada orang muda untuk kembali mengulang kaji bacaan dan memahami kalam kitab suci berkenaan.
"Di sini kami sepakat untuk sama-sama belajar dari bawah agar mereka yang belum dapat menguasai bacaan tidak akan rasa malu dengan rakan-rakan lain.
"Selain itu, kita juga faham dengan komitmen dan aktiviti lain golongan muda pada hujung minggu, jadi kelas menggaji di sini dijalankan pada hari biasa mengikut persetujuan ramai," katanya.



Beliau berkata, menjadi cabaran bagi pihaknya untuk memastikan anak muda di sini terus kekal semangat mendalami ilmu al-Quran selain mahu menarik lebih ramai bukan sahaja datang mengaji tetapi memenuhi masjid di sini.
Bagaimanapun katanya, kesedaran yang mendalam terhadap kepentingan agama serta akhirat perlu disebar luas bagi memastikan golongan muda tidak lupa dengan al-Quran yang perlu dijadikan panduan hidup.
Sementara itu, bagi Penggerak Rumah Ngaji dan juga tenaga pengajar, Muhammad Hafiz Jamaludin berkata, golongan muda tidak perlu rasa malu atau rendah diri sekiranya masih belum menguasai bacaan serta tajwid al-Quran.
Katanya, dengan menjadikan al-Quran sebagai teman hidup ia bukan sahaja diberikan ganjaran pahala serta ketenangan hidup sekaligus akan membentuk insan yang berjaya di dunia dan akhirat.
"Kita mahu memupuk budaya mencintai dan mendekati al-Quran dalam kalangan anak muda agar syiar Islam terus berkembang dan melahirkan masyarakat berilmu.
"Walaupun usia kian meningkat setiap hari namun masih belum terlambat untuk kita belajar dan mendalami al-Quran...Jadi sementara berpeluang, jangan ada rasa malu untuk belajar agar ia akan menjadi bekalan buat kita di sana nanti,"katanya.
Usah malu mengaji al-Quran biarpun sudah berusia - Sinar Harian

Pages: [1]
View full version: Usah malu mengaji al-Quran biarpun sudah berusia


ADVERTISEMENT