sfhzuraz Publish time 23-2-2024 10:51 AM

'Selidik dahulu latar belakang ulama, elak ditipu' - Mufti

'Selidik dahulu latar belakang ulama, elak ditipu' - Mufti

OlehSYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
23 Februari 2024 10:12am


https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/02/23/2547871.jpg
Wan Salim



GEORGE TOWN - Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya menyelidik terlebih dahulu latar belakang seseorang ulama atau kumpulan bawaannya bagi mengelakkan daripada ditipu.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, umat Islam juga diminta supaya tidak terlalu taasub dengan dakwaan seseorang itu kononnya nasab Rasulullah SAW tanpa memeriksanya terlebih dahulu.


Menurutnya, sikap taasub dengan membuta tuli juga akan menyebabkan fikiran seseorang tertutup daripada melihat kebenaran.
"Saya ingin mengingatkan warganegara Malaysia, khususnya masyarakat Islam bahawa keturunan yang mulia tidak memberi sebarang manfaat kepada seseorang jika dia tidak taat kepada hukum dan ajaran agama seperti yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.


"Seorang hamba abdi yang beriman dan bertakwa atau soleh adalah lebih baik daripada seorang berketurunan Nabi tetapi jahat dan fasik. Saya sokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menasihatkan supaya masyarakat mengelak daripada sikap taasub secara membuta tuli terhadap seseorang yang mendakwa berketurunan Nabi Muhammad SAW."Sikap taasub sedemikian menyebabkan fikiran seseorang tertutup daripada melihat kebenaran. Jadi selidiklah terlebih dahulu latar belakang seseorang supaya tidak mudah menjadi mangsa tipu individu atau kumpulan yang berkepentingan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.Sebelum ini, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan yang tertentu.Menterinya, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengingatkan orang ramai supaya menjauhkan diri daripada sikap taasub berikutan isu seorang lelaki mendakwa sebagai warga Maghribi dan berada dalam jalur keturunan Nabi Muhammad SAW.



Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri sekiranya berlaku pelanggaran enakmen negeri membabitkan lelaki yang dikenali Mawla Mohamed Amin al-Hassani dan pengikutnya.
Dalam pada itu, tambah Wan Salim, seseorang yang mengaku dirinya mempunyai nasab Rasulullah perlu mengemukakan dokumen yang sah daripada pihak berkuasa dari negaranya seperti mahkamah, majlis agama Islam atau persatuan ulama yang dikenali umum.



"Saya tidak menafikan bahawa keturunan Rasulullah SAW sememangnya masih wujud hingga ke hari ini iaitu daripada Bani Hashim dan Bani Abdul Muttalib. Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa kepada penipuan individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab yang mengaku diri sebagai cicit Baginda Rasul yang mulia.
"Oleh itu, seseorang yang mengaku dirinya mempunyai nasab tersebut perlu diminta supaya mengemukakan dokumen yang sah daripada pihak berautoriti dari negaranya," katanya.
Wan Salim berkata, beliau turut menyokong tindakan PDRM yang memantau pergerakan lelaki berkenaan serta pengikutnya.
"Sekiranya ada bukti mereka melakukan jenayah menipu orang awam untuk kepentingan diri dan kumpulan mereka, maka PDRM perlu mengambil tindakan tegas untuk mengheret mereka ke muka pengadilan," katanya.
Sementara itu, Wan Salim turut berkongsi pengalamannya ketika menjadi tetamu jemputan untuk majlis selawat Nabi bersama lelaki berkenaan dua tahun lalu di sebuah universiti awam di sini.
Beliau bagaimanapun tidak menghadirkan diri selepas meragui kesahihan dakwaan lelaki berkenaan.
"Kira-kira dua tahun lalu lelaki yang digelar Mawla al-Amin ini pernah dibawa oleh para pengikutnya ke Pulau Pinang. Saya adalah antara orang yang dijemput untuk hadir bersama dalam satu majlis bersama lelaki ini yang diadakan di dewan sebuah universiti.
"Pada mulanya saya telah menyatakan persetujuan untuk hadir di majlis tersebut, namun kemudian membatalkannya setelah meragui kesahihan dakwaannya bahawa dia adalah daripada keturunan Rasulullah SAW.
"Saya meragui dakwaannya itu berdasarkan maklumat yang saya peroleh daripada sumber pelajar Malaysia di negara Maghribi itu sendiri yang tahu latar belakang individu berkenaan," kongsinya.
'Selidik dahulu latar belakang ulama, elak ditipu' - Mufti - Sinar Harian

Pages: [1]
View full version: 'Selidik dahulu latar belakang ulama, elak ditipu' - Mufti


ADVERTISEMENT