sfhzuraz Publish time 22-2-2024 06:43 PM

CAP gesa kawal selia EDC dalam produk kosmetik, penjagaan diri

CAP gesa kawal selia EDC dalam produk kosmetik, penjagaan diri

OlehSYAJARATULHUDA MOHD ROSLI
22 Februari 2024 03:53pm


https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/02/22/2546927.jpg
Hatijah dan Mohideen menunjukkan carta keputusan analisis yang dibuat berhubung kandungan EDC dan bahan kimia lain dalam produk di negara Asia termasuk Malaysia.



GEORGE TOWN - Bahan Kimia Pengganggu Endokrin (EDC) didapati terkandung dalam banyak produk kosmetik dan produk penjagaan diri yang dijual di pasaran ketika ini.
EDC ialah bahan yang mengubah sistem hormon dan homeostatik organisma hidup yang akan mengganggu dengan ketara proses pengawalseliaan utama badan seperti pertumbuhan, metabolisme, tindak balas tekanan, pembiakan, perkembangan seksual, tingkah laku jantina dan perkembangan janin.


Ujian terbaharu yang dijalankan ke atas 32 sampel kosmetik dan produk penjagaan diri bagi kanak-kanak dikesan terdapat EDC dalam beberapa sampel yang diuji.
Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa mengawal selia penggunaan Kimia Pengganggu Endokrin (EDC) dalam produk kosmetik selain menguatkuasakan undang-undang berkaitan produk penjagaan diri yang dijual di negara ini.


Pegawai Penyelidik CAP, Hatijah Hashim berkata, sebanyak 32 sampel produk tempatan terdiri daripada pencuci tangan, gel mandian, ubat gigi, deodoran, cecair kumur, cecair pencuci untuk wanita dan tisu bayi sudah diuji bagi mengetahui jumlah paraben iaitu bahan kimia yang mengganggu endokrin.
"Daripada 32 produk ini, sebanyak 15 daripadanya didapati mempunyai label bahan salah manakala tiga tanpa pelabelan ramuan.
"Antara lapan negara yang mengambil bahagian, Malaysia mempunyai peratusan tertinggi bagi label bahan tidak betul iaitu 53.6 peratus daripada sampel dihantar.
"Daripada 32 sampel diuji, 18 didapati mengandungi metil paraben, etil paraben (lima), propil paraben (10) dan satu masing-masing bagi isobutil paraben dan fenil paraben," katanya ketika sidang media di Pejabat CAP di sini pada Khamis.



Turut hadir, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader.
Tambah beliau, lebih membimbangkan, gel mandian jenama popular didapati mengandungi metil, etil dan propil paraben yang tinggi.



"Ia juga didapati mengandungi isobutil dan fenil paraben yang diharamkan oleh Jawatankuasa Kosmetik ASEAN (ACC) sejak 2015. Selain itu, propil paraben dikesan di dalam empat sampel tisu bayi manakala butil paraben dan propil paraben dikesan dalam sampel ubat gigi kanak-kanak.
"Ia menunjukkan, berlaku kekurangan penguatkuasaan walau pun negara mempunyai undang-undang berkaitan kosmetik," tambahnya lagi.
Hatijah berkata, terdapat keperluan mendesak untuk mengeluarkan langkah kawal selia yang komprehensif, peningkatan kesedaran awam dan pelaburan dalam alternatif lebih selamat untuk melindungi populasi yang terdedah terutamanya kanak-kanak, wanita dan komuniti kurang bernasib baik.
"Selaras dengan keputusan terkini itu yang mendedahkan kehadiran EDC dalam produk kosmetik dan penjagaan diri kanak-kanak serta kesan kesihatan yang berkaitan dengannya, CAP menggesa pihak berkuasa untuk mengawal selia EDC dalam produk.
"Kami juga mahu pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan dengan tegas berhubung undang-undang berkaitan kosmetik dan produk penjagaan diri untuk kanak-kanak," katanya.
CAP gesa kawal selia EDC dalam produk kosmetik, penjagaan diri - Sinar Harian

Pages: [1]
View full version: CAP gesa kawal selia EDC dalam produk kosmetik, penjagaan diri


ADVERTISEMENT