mattzzx Publish time 22-2-2024 05:40 PM

12 stor barang tiruan di Jalan Petaling digempur KPDN

https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhgempur22_1708590202.jpg
Pegawai penguat kuasa KPDN melakukan pemeriksaan pada salah satu premis stor di Jalan Petaling, yang diserbu semalam. - Foto NSTP/Ihsan KPDN

KUALA LUMPUR: Jalan Petaling di sini, yang menjadi antara lokasi panas penjualan barangan tiruan diserbu buat kali keempat oleh pihak berkuasa menerusi Op Putra 4.0, kelmarin.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Ariffin Samsudi, berkata operasi itu dijalankan hasil risikan dijalankan selama dua minggu.

Beliau berkata, menerusi serbuan di 12 premis stor berkenaan, KPDN menyita 6,250 unit barangan yang dipercayai tiruan terdiri daripada beg, dompet dan beg tangan serta jam tangan berjenama disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan nilai sitaan dianggarkan RM300,000.

Katanya, serbuan menerusi Ops Putra 4.0 dilaksanakan KPDN Putrajaya bersama KPDN Kuala Lumpur dan Selangor dan turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta wakil cap dagangan.


"Dua wanita tempatan yang mengaku sebagai pemilik stor berkenaan turut ditahan. Serbuan ini kali keempat dilakukan di lokasi sama sejak Mac 2023 susulan laporan dikeluarkan oleh United States Trade Representative (USTR) mengenai penjualan barangan tiruan yang berleluasa di Jalan Petaling," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelupusan Mega bertempat di Kompleks Sentral Segambut di sini, hari ini.

Menurut Ariffin, hasil maklumat risikan pihaknya mendapati kesemua barangan ini diperolehi dari negara luar dan kesemua stok ini bagi tujuan penjualan kepada pelancong asing yang datang ke Jalan Petaling dan juga kepada warga tempatan bagi persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

"Kesemua barangan yang disita ini akan dijual pada harga RM80 sehingga RM1,000 seunit.

"Maklumat yang diperolehi juga mendapati sepasang kasut tiruan berjenama dijual dengan harga RM100 sehingga RM600 dan harga kos antara RM50 sehingga RM300 bergantung kepada kualiti barangan," katanya.

Ariffin berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas semua pihak yang terlibat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

"Statistik kita menunjukkan, bagi tahun 2023 sehingga kini, sebanyak 135 kes terhasil mengikut Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 dengan nilai rampasan berjumlah RM4 juta membabitkan sitaan barangan sebanyak 100,000 unit.

"Jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji bagi tahun 2023 sehingga kini adalah seramai 30 orang membabitkan kesalahan berkaitan dengan harta intelek," katanya.

Menurutnya, KPDN Kuala Lumpur akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang Harta Intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 secara berterusan dalam membanteras penjualan barangan tiruan.

Dalam pada itu, pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama berterusan daripada wakil Pemilik Cap Dagangan yang berdaftar bagi meningkatkan lagi kerjasama berterusan untuk membanteras aktiviti pengedaran serta penjualan barangan tiruan di pasaran.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1215562/12-stor-barang-tiruan-di-jalan-petaling-digempur-kpdn
Pages: [1]
View full version: 12 stor barang tiruan di Jalan Petaling digempur KPDN


ADVERTISEMENT