mattzzx Publish time 22-2-2024 01:43 PM

Derita suami hidap kanser usus

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/xbasd24_1708578560.jpg
Zuraini Kamal (kiri) memberi semangat kepada Siti Sholeha Manshor (tengah) yang menjaga suami, Khalid Sakban (kanan) dan ibunya yang menghidap kencing manis. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI


Langkawi: "Saya hilang kata-kata apabila tahu suami disahkan menghidap kanser usus tahap empat pada awal bulan ini kerana sebelum ini dialah yang menyara kehidupan keluarga.

"Namun, sejak disahkan menghidap penyakit ini, suami Khalid Sakban, 37, dia tidak dapat bekerja, malah tidak sihat sejak dua bulan lalu," kata Siti Sholeha Mashor, 31.

Suri rumah itu berkata, mereka mempunyai tiga anak berusia dua tahun hingga 12 tahun yang mana dua daripadanya masih bersekolah.



Menurutnya, dia terpaksa tinggal bersama ibu bapanya kerana menjaga ibunya, Marison Hussain, 62, yang hanya menggunakan kerusi roda kerana kaki kirinya dipotong akibat menghidap kencing manis.

Katanya, selain itu bapanya, Mashor Salin, 64, turut mempunyai masalah kesihatan termasuk penyakit darah tinggi.

"Suami bekerja sebagai tukang kebun sekolah dan sering mengalami masalah kesihatan sebelum ini apabila mengalami demam panas yang menyebabkan badannya menggeletar, sakit kepala dan mata.

"Kami mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tuba, di sini, namun ketika itu doktor memaklumkan tekanan darahnya turun mendadak sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Doktor mengesahkan suami menghidap kanser selepas mendapati ketumbuhan pada ususnya sudah pecah dan perlu menjalani pembedahan dengan segera," katanya.

Siti Sholeha berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal di rumahnya di Kampung Teluk Berembang, Pulau Tuba, di sini.

Menurutnya, selepas berjaya menjalani pembedahan, suaminya hanya bergantung pada beg stoma untuk membuang najis.

Katanya, disebabkan tiada sumber kewangan, mereka terpaksa menggunakan wang simpanan untuk membeli beg stoma yang perlu sentiasa ditukar.

"Bayangkan keadaan sekarang dengan barangan keperluan persekolahan anak-anak pun tak dapat dibeli lagi kerana perlu menguruskan suami terlebih dahulu.

"Doktor mencadangkan suami dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan jika ke sana, kami memerlukan perbelanjaan yang banyak dan sukar.

"Saya juga buntu memikirkan masalah kewangan yang perlu ditanggung untuk keluarga selain membeli beg stoma dengan harga agak mahal," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun RHB 15211200058443 atas nama Khalid Sakban.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1063148/derita-suami-hidap-kanser-usus
Pages: [1]
View full version: Derita suami hidap kanser usus


ADVERTISEMENT