mattzzx Publish time 21-2-2024 12:23 PM

Pencemaran sungai: PBAPP tidak kesan perubahan kualiti air terawat

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/02/WhatsApp-Image-2024-02-21-at-10.57.22-AM.jpeg
LRA Bukit Toh Allang di Seberang Perai Utara yang merawat air mentah dari Sungai Kulim, Kedah.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak mengesan sebarang perubahan ketara dalam kualiti air terawat yang dibekalkan di negeri ini susulan pembuangan sisa ladang ke Sungai Kulim di Kedah, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Pathmanathan berkata, Sungai Kulim merupakan sumber air mentah yang diteroka untuk mengisi semula Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) dan menghasilkan air terawat setiap hari di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Toh Allang di Seberang Perai Utara.

“Sehingga kini, data ujian air tidak mendedahkan sebarang isu kualiti air terawat yang signifikan. Ujian kualiti air dikendalikan bersama Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dan PBAPP. Prosedur ini memastikan air terawat PBAPP mematuhi parameter Program Jaminan Kualiti (QAP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan berlakunya kegiatan pelepasan sisa ternakan babi disyaki berpunca dari ladang perkampungan Sungai Lembu yang menyebabkan berlakunya pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah.

Bagaimanapun, hasil siasatan yang dijalankan mendapati pelepasan sisa tersebut bukan berpunca dari ladang babi itu namun ia adalah sisa dari ladang itik baka.

Menurut Pathmanathan, PBAPP menguji kualiti air mentah yang diabstrak daripada semua sumber air mentah di Pulau Pinang, serta air terawat daripada semua loji rawatan air (LRA).

“Sepanjang 10 hari yang lalu, keputusan ujian PBAPP tidak mendedahkan sebarang pelanggaran besar terhadap parameter ujian air yang ditetapkan oleh KKM. Oleh itu, pelepasan ladang yang dilaporkan tidak menjejaskan kualiti air terawat di Pulau Pinang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/02/21/pencemaran-sungai-pbapp-tidak-kesan-perubahan-kualiti-air-terawat/
Pages: [1]
View full version: Pencemaran sungai: PBAPP tidak kesan perubahan kualiti air terawat


ADVERTISEMENT