mattzzx Publish time 21-2-2024 12:10 PM

Bangkai ikan paus terdampar di Pantai Tanjung Batu

https://assets.bharian.com.my/images/articles/paus_1708484705.jpg
Penduduk, Mohd Iqbal Zahir Mohd Khamsani, melihat bangkai ikan paus yang terdampar di pantai Tanjung Batu.

PEKAN: Penduduk Kampung Tanjung Batu dekat sini gempar dengan penemuan bangkai seekor ikan paus seberat lebih 80 kilogram (kg) yang terdampar di pantai kampung berkenaan, di sini semalam.

Ikan paus berukuran kira-kira tiga meter panjang itu dipercayai jenis Odontocete atau ikan paus bergigi berdasarkan fizikal giginya, hanya ada pada rahang bawah dan badan yang panjang.

Ia dipercayai tersesat sebelum memasuki perairan Pekan dan terdampar di pantai Tanjung Batu yang terletak hampir dengan projek mendalamkan muara Sungai Tering.

Seorang penduduk, Mohd Iqbal Zahir Mohd Khamsani, 36, berkata dia menemui bangkai ikan paus itu ditepi pantai kira-kira 6.30 petang kelmarin selepas dihanyutkan arus laut.



Katanya, ketika itu dia bersama anaknya sedang bersiar di tepi pantai sebelum terlihat bangkai ikan paus berkenaan yang dipercayai masih baharu, fizikalnya masih sempurna tanpa sebarang kecederaan.

"Saya terkejut melihat mamalia itu kerana inilah kali pertama melihatnya secara dekat dan memegangnya, sebelum ini hanya melihat di televisyen.

"Bangkai mamalia terbabit hanyut dibawa arus air laut selepas berlaku air pasang besar yang mula berlaku kira-kira 10 malam kelmarin.

"Petang semalam saya sekali ke kawasan pantai Tanjung Batu dan menemui bangkai mamalia terbabit beberapa meter daripada lokasi ditemui kelmarin," katanya, di sini semalam.

Mohd Iqbal Zahir berkata, hari ini (semalam) badan ikan paus berkenaan mula membengkak berikutan lama berada di kawasan panas ditepi pantai, penduduk kampung tidak melepaskan peluang datang melihat lebih dekat mamalia itu.

Tambahnya lagi, fizikal ikan paus yang giginya hanya ada pada rahang bawah jelas dapat dilihat, saiz giginya yang tajam dan besar membuktikan mamalia berkenaan adalah dewasa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, berkata pegawainya sudah meninjau tempat kejadian hari ini bagi menyiasat penemuan mamalia berkenaan yang jarang berlaku di negeri ini.

Katanya, kali terakhir ikan paus ditemui di negeri ini adalah pada 2008 membabitkan seekor anak ikan paus betina spesies Bryde's Whale yang terdampar di beting pasir Kuala Nenasi dekat sini.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/02/1215017/bangkai-ikan-paus-terdampar-di-pantai-tanjung-batu
Pages: [1]
View full version: Bangkai ikan paus terdampar di Pantai Tanjung Batu


ADVERTISEMENT