mattzzx Publish time 20-2-2024 05:57 PM

Lelaki warga Myanmar dalang penyeludupan Pati ditahan

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Untitled_dalang_pati_jim_kedad_1708421080.jpg
DALANG Pati warga Myanmar yang ditahan JIM Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seorang lelaki warga Myanmar ditahan Jabatan Imigresen (JIM) kerana dipercayai menjadi dalang membekalkan pekerja asing tidak sah dan pendatang tanpa izin (Pati) di utara negeri ini.

Pengarah JIM Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, lelaki berusia 53 tahun yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu ditahan bersama isterinya, berusia 55 tahun dan bayi perempuan mereka berusia dua tahun.

Beliau berkata, dalam serbuan Op Serkap bermula 10.30 malam hingga 2 pagi tadi, seramai 30 warga Myanmar turut ditahan dalam dua serbuan di Taman Ria Jaya dan Taman Batik di Sungai Petani.

"Ketika ditahan, suspek yang dipercayai menyediakan perkhidmatan transit pekerja asing yang tidak sah kepada majikan, turut menempatkan lima wanita dan seorang kanak-kanak di rumahnya," katanya pada sidang media di Pejabat JIM Kedah di sini hari ini.



Mohd Ridzzuan berkata, tangkapan itu membawa kepada penahanan 26 Pati terdiri 16 lelaki dan 10 wanita yang ditempatkan dalam bangunan kosong, beralaskan kotak dan dikunci dari luar.

"Siasatan kemudian mendapati Pati itu memasuki negara ini melalui beberapa pintu sempadan dan dikumpulkan di Sungai Petani sebelum diagihkan kepada majikan yang memerlukan pekerja.

"Dalang ini tinggal di Malaysia selama 35 tahun dan fasih berbahasa Melayu, malah kita sedang menyiasat pembabitan suspek dalam rangkaian sindiket dan tempoh dia aktif menjalankan kerja pemerdagangan manusia," katanya.

Mohd Ridzzuan berkata, pemilik premis yang digunakan sebagai lokasi transit untuk Pati ini juga akan diambil tindakan.

Dalam pada itu, katanya, ketika disoal siasat, suspek mengesahkan kesemua Pati berkenaan ditempatkan di bangunan itu selepas mendapat permintaan dari majikan.

"Majikan mereka ini dari Johor, hanya 20 orang sudah diambil dan Pati selebihnya ini akan diambil dalam masa terdekat.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1062591/lelaki-warga-myanmar-dalang-penyeludupan-pati-ditahan
Pages: [1]
View full version: Lelaki warga Myanmar dalang penyeludupan Pati ditahan


ADVERTISEMENT