mattzzx Publish time 20-2-2024 12:01 PM

'Suami beria-ria mahu mandi pantai' - Isteri Zulkarnain

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm19isteris_1708366552.jpg
Nora Elina ketika ditemui media di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR.

Kuala Terengganu: "Kami sempat bersarapan pagi bersama sebelum ke pantai untuk bermain air," kata Nora Elina Abdul Khalil, 44, isteri kepada Allahyarham Zulkarnain Mohamed Zubir.

Zulkarnain, 44, ditemukan terapung di perairan Pulau Kapas, kira-kira 16 kilometer daripada lokasi kejadian kira-kira jam 4 petang ini.

Nora Elina berkata, masih terngiang-ngiang ditelinga apabila Zulkarnain beberapa kali menyatakan keinginan untuk mandi pantai sebelum dan ketika bercuti di negeri ini.

"Kami mengambil kesempatan membawa bersama dua anak perempuan berusia antara 9 dan 11 tahun bercuti sambil menghadiri taklimat kerja di Kampung Tok Ku, di sini, Sabtu lalu.



"Tiada perubahan sikap ditunjukkan arwah, tetapi dia kerap menyatakan mahu mandi pantai sebelum dan selepas menghadiri sesi taklimat," katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, di sini, hari ini.

Mayat Zulkarnain ditemukan terapung di permukaan air di perairan Pulau Kapas dan Pulau Gemia iaitu kira-kira 16 kilometer dari Pantai Batu Burok, kira-kira jam 4 petang tadi.

Nora Elina berkata, walaupun bersedih kerana arwah suami dihanyutkan arus di depan mata, tapi bersyukur kerana jasadnya ditemukan selepas 30 jam dihanyutkan arus.

"Allah sudah takdirkan arwah suami mati syahid yang menjadi idaman setiap muslim untuk ke syurga tanpa dihisab.

"Alhamdulilah, kita sentiasa berdoa supaya jasad suami ditemukan dan membawa jenazah balik bersama untuk dikebumikan di Seksyen 9, Kota Damansara, esok," katanya yang melangsungkan perkahwinan dengan Zulkarnain pada tahun 2010.

Nora Elina mengakui sedih kerana kehilangan lelaki harapan keluarga, suami serta bapa dua anaknya malah sahabat yang baik.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada semua agensi penguatkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasa Maritim (MARITIM) kerana lebih 24 jam bekerja keras untuk mencari dan menyelamat arwah suami," katanya.

https://www.hmetro.com.my/utama/2024/02/1062344/suami-beria-ria-mahu-mandi-pantai-isteri-zulkarnain
Pages: [1]
View full version: 'Suami beria-ria mahu mandi pantai' - Isteri Zulkarnain


ADVERTISEMENT