mattzzx Publish time 19-2-2024 05:37 PM

Cobra B14 naib juara Bangkok 10s

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/02/Cobra-U14.jpg
PASUKAN Cobra B14 muncul naib juara Ragbi Antarabangsa Bangkok 10s 2024 di Kompleks Sukan Bangkok Patana semalam. - FOTO: COBRA B14

PETALING JAYA – Pasukan ragbi Cobra bawah 14 tahun (B14) berjaya menamatkan cabaran Ragbi Antarabangsa Bangkok 10s 2024 dengan gelaran naib juara di Kompleks Sukan Bangkok Patana, Thailand semalam.

Menjadi percubaan pertama beraksi di pentas antarabangsa, Cobra B14 memperagakan kelas tersendiri dengan memenangi empat daripada lima perlawanan yang berlangsung secara liga sepusingan.

Ketua Jurulatih Cobra B14, Datuk Aldillan Anuar berkata, pasukannya berjaya menampilkan prestasi menakjubkan bagi setiap perlawanan.

“Kami berharap setiap pemain sentiasa menambah baik diri, di dalam atau luar padang supaya sedia bersaing tidak kira menang atau kalah, seperti yang telah kita capai hari ini (semalam).

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/02/Cobra-Aldilan.jpg
ALDILLAN berbangga dengan semangat juang barisan pemainnya sepanjang kejohanan selama dua hari di Thailand. FOTO: COBRA B14

“Selain itu, kami turut berterima kasih kepada semua ibu bapa, jurulatih dan penaja di atas sokongan. Pencapaian ini menjadi batu loncatan untuk pasukan terus positif dan tampil cemerlang,” katanya yang juga merupakan Naib Presiden Kesatuan Ragbi Selangor.

Pada hari pertama perlawanan, Cobra B14 membuka langkah kanan dengan membenam Bangkok Japanese 24-0 sebelum tewas tipis 12-14 kepada Bangkok Lions yang muncul juara bagi kejohanan berkenaan.

Namun, Cobra B14 tidak mengambil masa lama untuk bangkit dengan menampilkanb permainan lebih agresif mengalahkan Discovery Bay Pirates 17-0 pada perlawanan ketiga.

Kemenangan itu menjadi pembakar kepada Cobra B14 untuk terus menggasak KL Tigers dan Nak Suu Tigers pada hari kedua saingan, sekali gus mengekalkan kecemerlangan dengan menewaskan kedua-dua lawan itu menerusi catatan mata 7-0.

Sebagai rekod, kejohanan yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam, menampilkan enam pasukan menyediakan platform terbaik buat para pemain remaja B14 merasai pengalaman bersaing di pentas antarabangsa. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/02/19/cobra-b14-naib-juara-bangkok-10s/
Pages: [1]
View full version: Cobra B14 naib juara Bangkok 10s


ADVERTISEMENT