mattzzx Publish time 19-2-2024 04:31 PM

15,724 pili bomba kena baiki, ganti

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/0219rspili_1708329625.jpg
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad ketika sidang media pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 di Ibu Pejabat JBPM Pahang. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR

Kuantan: Sebanyak 15,724 daripada 422,472 pili bomba di seluruh negara dikesan rosak dan memerlukan penggantian atau pembaikan, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.

Menurutnya, jumlah itu diperoleh berdasarkan statistik tahun lalu, dengan antara jenis kerosakan ialah pili bomba diturap dengan tar, tanah dan pasir.

Katanya, selain itu ada pili bomba mengalami kebocoran, batu 'H' dan tiang bomba patah serta 'spindle valve' patah, ketat dan tidak berfungsi.

"Setakat ini kita keluarkan arahan untuk memeriksa dan memastikan semua pili bomba di negara ini berfungsi dengan baik.


"Pada masa sama, JBPM juga bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memantau pili bomba apabila membabitkan projek pembinaan jalan.

"Pemantauan itu untuk memastikan tidak berlaku turapan dan pasir masuk ke dalam pili bomba," katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 JBPM dan Penyampaian Sijil Perkhidmatan 30 Tahun di Ibu Pejabat JBPM Pahang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Pada majlis itu, seramai 78 anggota menerima APC, manakala lima anggota menerima Sijil Perkhidmatan 30 tahun.

Pada 13 Februari lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan JBPM melakukan operasi besar-besaran bagi memeriksa dan memastikan semua pili bomba dalam negara ini berfungsi dengan baik untuk digunakan ketika kecemasan.

Berdasarkan statistik, terdapat 357,130 pili bomba awam, manakala 65,342 pili bomba swasta.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, Unit Integriti JBPM menerima 80 aduan pelbagai kesalahan sepanjang tahun lalu, dengan 52 kes membabitkan salah laku, masing-masing tujuh kes skandal/seksual dan salah guna kuasa; rasuah dan pentadbiran (empat kes); pengurusan (tiga kes); penyelewengan (dua kes) dan satu kes kewangan.

"Daripada jumlah aduan yang diterima dan disiasat, sebanyak 35 aduan berasas, 34 aduan tidak berasas, tujuh aduan diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA) dan empat aduan masih dalam tindakan.

"Di atas faktor ini, jabatan mengambil serius dan cakna setiap salah laku dan keperibadian sahsiah diri pegawai di dalam jabatan. Tidak ada kompromi dan rayuan untuk mereka yang terbabit dengan salah laku tatatertib," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1062236/15724-pili-bomba-kena-baiki-ganti
Pages: [1]
View full version: 15,724 pili bomba kena baiki, ganti


ADVERTISEMENT