mattzzx Publish time 19-2-2024 12:26 PM

Bomba guna anjing pengesan, helikopter kesan mangsa lemas

https://assets.bharian.com.my/images/articles/pdakesan_1708311139.jpg
Anggota penyelamat membuat persiapan untuk melakukan operasi penyelaman di perairan Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Baharom Bakar

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri menggunakan dua anjing pengesan dalam operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Pantai Batu Burok, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abnihajar, berkata dua anjing pengesan daripada K9 akan digunakan untuk pencarian di pesisir pantai bermula daripada lokasi awal kejadian hingga ke Pantai Pandak, Chendering.

Katanya, kawasan pencarian Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, dari Kuala Lumpur yang hilang selepas dihanyutkan ombak ketika bersiar-siar di tepi pantai diperluaskan hingga lima kilometer.



"Kita juga akan menggunakan helikopter untuk mengesan mangsa selain dua unit dron masing-masing daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan JBPM negeri turut diterbangkan dalam operasi bermula jam 7.40 pagi ini," katanya ketika ditemui di Pantai Batu Burok, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi semalam, Zulkarnain Mohamed bersama isterinya, Nora Elina Abdul Khalil, 44, bersama dua anak perempuannya berusia antara sembilan dan 11 tahun bercuti ke negeri ini dan mendaftar masuk di sebuah hotel di Batu Burok, Jumaat lalu dan dijangka mendaftar keluar hari ini.

Mengulas lanjut, Rozizah berkata, tiga bot peronda termasuk daripada Maritim, Polis Marin dan Bomba turut digunakan untuk mengesan mangsa.

"Pegawai dan anggota daripada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) sudah melakukan penyelaman di lokasi mangsa hilang bermula jam 7.30 pagi ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/02/1214189/bomba-guna-anjing-pengesan-helikopter-kesan-mangsa-lemas
Pages: [1]
View full version: Bomba guna anjing pengesan, helikopter kesan mangsa lemas


ADVERTISEMENT