mattzzx Publish time 19-2-2024 12:17 PM

Masalah duku Kuala Berang

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/SORED_1708297289.jpg
AlIAS ketika ditemui di kebun duku miliknya di Kampung Durian Bador, Kuala Berang.

Kuala Berang: Sebahagian penduduk di daerah ini bergantung kepada pertanian untuk menyara keluarga, bahkan ada yang menjadi pengeluar buah seperti Duku Terengganu.

Hasil tani itu akan dijual kepada pembekal dengan keuntungan daripada jualan berkenaan dimanfaatkan bagi pusingan modal kebun serta menanggung keperluan isi rumah.

Bagaimanapun, ketiadaan pusat pengumpulan pertanian setempat dilihat menyukarkan petani dan pekebun, bukan saja mereka di daerah ini, malah Terengganu keseluruhan untuk memasarkan hasil.

Pekebun, Alias Ismail, 66, dari Kampung Durian Bador berkata, sejak dahulu lagi mereka perlu menguruskan sendiri hasil pertanian dan memasarkannya.



Katanya, mengambil contoh ketika tibanya musim buah duku, pekebun terpaksa mencari pembeli yang akan membeli hasil itu manakala pembeli pula perlu mengupah individu lain untuk memungut buah.

Menurutnya, hasil yang dipungut itu akan dikumpul di satu kawasan, biasanya di pekarangan rumah pembeli sebelum berurusan dengan 'tauke' yang mahu membeli buah berkenaan.

"Proses ini memakan masa sedangkan hasil tani perlu dipasarkan dengan cepat bagi mengelak rosak.

"Buah duku umpamanya, hanya mampu bertahan selama tiga hari dari hari dipetik hingga dijual," katanya yang memberitahu ketika ini lori yang mengangkut hasil tani terpaksa ke setiap lokasi pengumpulan yang tentunya mengambil masa.

Alias berkata, petani daerah ini bukan seorang dua, malah setiap kampung menjalankan aktiviti pertanian yang memerlukan hasil tani dipasar secepat mungkin.

Disebabkan itu, katanya, sudah tiba masanya pihak berkuasa mewujudkan pusat pengumpulan untuk aktiviti pemasaran hasil pertanian.

Petani, Abdullah Ahmad, 73, dari Kampung Tanjung Baru, bersetuju sekiranya pusat pengumpulan hasil pertanian diwujudkan kerana memudahkan urusan pelbagai pihak.

"Hasil tani sebelum ini dikumpul dan dijual kepada tauke yang datang membeli kerana kami tidak mempunyai satu pusat khusus untuk memasarkannya.

"Ini juga jadi halangan dalam memasar produk segar dan memang wajarlah ditubuh pusat pengumpulan, yang secara tidak langsung dapat membantu pekebun dan petani daerah," katanya.

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1062091/masalah-duku-kuala-berang
Pages: [1]
View full version: Masalah duku Kuala Berang


ADVERTISEMENT