sfhzuraz Publish time 16-2-2024 04:35 PM

Air kelapa, tebu jadi pilihan ketika cuaca panas

Air kelapa, tebu jadi pilihan ketika cuaca panas


Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/air_1708070927.jpg
Mohd Yusri Yusof menggunakan tebu untuk dimesin berikutan perniagaan menjual minuman itu laris pada cuaca panas ketika ini. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI



Alor Setar: "Sebelum ini nak jual air kelapa dan tebu dalam balang susah nak habis tetapi ketika musim cuaca panas ini, tiga jam saja sudah habis semuanya," kata Mohd Yusri Yusof, 38.
Mohd Yusri dan isterinya, Norfazilah Abd Hamid, 36, bersyukur kerana perniagaan air tebu dan kelapa yang dijual mereka di tepi jalan di Jalan Langgar, berhampiran Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini sejak setahun lalu laris setiap hari.
Katanya, dia berniaga antara jam 10 atau 11 pagi setiap hari menjual air kelapa muda sehingga 50 biji sehari dalam balang berbanding 20 atau 30 biji pada hari biasa sebelum ini.
"Kalau tebu pula saya menggunakan 120 kilogram (kg) tebu sehari berbanding 60 kg pada hari biasa kalau bukan cuaca panas.
"Tetapi sejak cuaca panas atau kemarau ini bermula bulan lalu, saya terpaksa menambah stok bekalan kelapa dan tebu disebabkan permintaan berganda daripada pelanggan yang singgah membeli," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Pasangan itu yang menetap di Kampung Kubang Lintah, Lepai dekat sini tidak menyangka minuman dalam balang yang mereka jual menjadi pilihan pelanggan.
Katanya, wang hasil jualan perniagaan itu dapatlah dikumpul untuk membeli baju sekolah serta perbelanjaan keluarga termasuk tiga anaknya yang masih kecil.
"Memang panas sungguh cuaca sekarang ni sampaikan saya dan isteri terpaksa minum secukupnya kerana berniaga di tepi jalan yang terdedah dengan panas.
"Lepas hasil jualan habis, kami terus pulang ke rumah disebabkan tidak tahan panas," katanya.
Sementara itu, tinjauan di beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini mendapati, kawasan sawah padi menjadi kering kontang akibat fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda negeri ini sejak bulan lalu.
Dalam pada itu, media hari ini melaporkan, Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan cuaca kering dan panas dialami negeri di utara Semenanjung dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius.


Disiarkan pada: Februari 16, 2024 @ 4:08pm


Air kelapa, tebu jadi pilihan ketika cuaca panas (hmetro.com.my)




Pages: [1]
View full version: Air kelapa, tebu jadi pilihan ketika cuaca panas


ADVERTISEMENT