mattzzx Publish time 15-2-2024 02:35 PM

Bomba Kedah bersedia hadapi peningkatan kebakaran akibat cuaca panas

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/siapsedaia1_1707977767.jpg
AWANG Hidzel pada sidang media di Majlis Perhimpunan Tahunan 2024 di Ibu Pejabat JBPM Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah bersedia menghadapi peningkatan panggilan kecemasan berkaitan kebakaran terbuka susulan cuaca panas atau fenomena El Nino yang melanda ketika ini.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, sehingga bulan ini, pihaknya menerima 606 panggilan kecemasan membabitkan kebakaran terbuka iaitu lalang, belukar dan semak di negeri ini.

Beliau berkata, sebanyak 1,087 panggilan kecemasan diterima tahun lalu manakala tahun sebelumnya sebanyak 689 panggilan kecemasan diterima.

"Semua anggota 20 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku fenomena El Nino," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Tahunan 2024 Ibu Pejabat JBPM Kedah di Jalan Suka Menanti di sini hari ini.



Terdahulu, beliau turut menyempurnakan pemakaian pangkat kepada 30 pegawai dan 60 penerima Sijil Kecemerlangan kepada pegawai JBPM Kedah.

Selain itu, lima pengamal media turut menerima Sijil Penghargaan termasuk akhbar Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times.

Dalam pada itu, Awang Hidzel berkata, puntung rokok adalah antara salah satu penyebab utama yang boleh mencetuskan kebakaran besar ketika cuaca panas kering.

Katanya, membuang puntung rokok yang masih bernyala di tepi jalan antara satu sebab api cepat merebak terutama ketika dalam keadaan panas terik selain kebakaran yang tidak dikawal dan sebagainya.

Dalam pada itu, Awang Hidzel berkata, lima jentera tangki air berkapisiti 20,000 liter ditempatkan di BBP Alor Setar, Sungai Petani, Bukit Kayu Hitam, Langkawi dan Kulim yang mempunyai kawasan yang luas.

Beliau berkata, setakat ini empat daerah di negeri ini yang dikenal pasti sebagai kawasan panas kerap berlaku kebakaran terbuka adalah di Kota Setar yang tertinggi menerima panggilan kebakaran iaitu 183 panggilan, diikuti Kuala Muda (169), Kubang Pasu (90) dan Langkawi (85).

"Selain itu, JBPM Kedah turut melakukan penyelenggaraan pili Bomba bagi memastikan ia dalam keadaan baik bagi menghadapi situasi kecemasan terutama ketika cuaca panas ketika ini.

"Jumlah keseluruhan pili Bomba di negeri ini adalah sebanyak 26,578 buah iaitu 22,491 buah pili bomba awam yang berwarna merah manakala 4,087 adalah milik swasta iaitu di premis persendirian.

"Kita dapati ada juga yang rosak dan ianya berpunca akibat perbuatan vandalisme individu tidak bertanggungjawab yang merosakkannya sama ada secara sengaja atau tidak," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1061010/bomba-kedah-bersedia-hadapi-peningkatan-kebakaran-akibat-cuaca-panas
Pages: [1]
View full version: Bomba Kedah bersedia hadapi peningkatan kebakaran akibat cuaca panas


ADVERTISEMENT