mattzzx Publish time 15-2-2024 01:48 PM

Separuh semangat 'pergi' bersama adik

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm15dohai_1707972715.jpg
Gambar kenangan keluarga Intan Noratini (kiri) bersama adiknya, Norsyam Nassullah ketika majlis persandingan pada 16 Disember lalu. FOTO IHSAN INTAN NORATINI RAHIM.

Bukit Mertajam: "Saya bukan saja kehilangan satu-satunya adik tetapi saya juga kehilangan sahabat baik dunia dan akhirat. Pemergian adik sangat dirasai apatah lagi arwah baru sehari mendirikan rumah tangga dan bergelar suami," kata Intan Noratini Rahim.

Intan Noratini, 30, adalah kakak kepada mangsa nahas tiga kenderaan di Batu 3, Jalan Bernam di Tanjong Karang, Norsyam Nassullah yang meninggal dunia pada usia 23 tahun pada 17 Disember lalu.

Ibu kepada tiga anak itu juga mendapat perhatian di TikTok selepas berkongsi video luahan hatinya yang merindui adik kesayangan yang pergi dahulu menghadap Illahi dan perkongsiannya meruntun hati netizen yang turut bersimpati dengan kejadian berkenaan.

Dalam nahas itu, Norsyam Nassullah yang bekerja di sebuah kilang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang memandu kereta bersama isteri, Aini Hayati Mohd Radzi, 23, yang patah kaki kiri dan cedera di dagu.


Intan Noratini berkata, perkongsian video di akaun sosialnya bukan bermakna dirinya tidak reda atau tidak menerima takdir Illahi, namun mengakui suratan itu sangat perit buat dirinya dan ibu bapa, Norhayati Abdollah, 53, serta Rahim Hamat, 56.

"Setiap hari teringat arwah adik dan saya rasa kehilangan dia seperti turut membawa separuh semangat saya pergi. Kami reda cuma 'cerita' duka ini akan mengambil masa untuk saya betul-betul menerimanya (melupakan nahas) tetapi arwah akan sentiasa di hati kami.

"Semua video saya itu untuk simpan kenangan saja dan untuk mengubat kerinduan kepadanya selain selalu ke kubur dan (sedekah al-Fatihah dan bacaan Yasin). Dahulu setiap video saya di TikTok adik akan komen sebab itu saya rasa dia akan selalu 'lihat' video saya," katanya.

Menurutnya, hubungan dengan Norsyam Nassullah sangat rapat kerana mereka hanya dua beradik dan tidak pernah berpisah sejak kecil, malah mereka juga masih tinggal bersama ibu bapa di Kampung Pelet, Penanti di sini.

"Walaupun beza umur enam tahun tetapi kami sangat rapat, dia lah adik, dialah sahabat baik dan kami selalu berkongsi apa saja cerita, malah boleh dikatakan hampir setiap hari kami akan duduk bersembang di meja untuk cerita apa yang berlaku hari itu termasuk di tempat kerja.

"Ketika majlis pernikahan dan resepsi adik di pihak perempuan pada 16 Disember lalu saya sedang hamil lapan bulan yang mana ketika itu saya mahu memberikan kejutan jantina bayi selepas melahirkan kerana adik sangat menyukai bayi perempuan dan sebab itu saya mahu beri kejutan.

"Adik selalu juga tanya jantina bayi saya tetapi dia seorang yang akur dan tidak mendesak untuk tahu kejutan sebelum tiba waktunya tetapi tak sangka saya pula yang menerima kejutan daripadanya dengan berita duka itu disaat dia baru mahu merasai kebahagiaan berkahwin," katanya.

Katanya, keadaan adik ipar, Aini Hayati yang kini dalam proses pulih juga menunjukkan perkembangan yang semakin baik.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke rumah keluarga Aini Hayati di Kampung Tersusun Bagan Sungai Burong, Tanjong Karang.

Norsyam Nassullah dan Aini Hayati juga sepatutnya diraikan pada majlis menyambut menantu di rumah keluarga Norsyam Nassullah pada 31 Disember lalu, namun lelaki itu dijemput Illahi dalam nahas terbabit.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1060971/separuh-semangat-pergi-bersama-adik
Pages: [1]
View full version: Separuh semangat 'pergi' bersama adik


ADVERTISEMENT