mattzzx Publish time 15-2-2024 11:29 AM

Kanak-kanak hidap kanser limfoma tak sabar ke sekolah

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/limfoma_1707967138.jpg
MUHAMMAD Anas Ikmal dibantu ibunya mencuba baju sekolah pada Majlis ‘Back to School’ anjuran Foccan di sini. FOTO Danial Saad

Bukit Mertajam: Kanak-kanak menghidap kanser limfoma yang aktif bermain ragbi dan bola sepak tidak sabar memulakan sesi persekolahan pada 11 Mac depan.

Ia susulan penyakit yang dihadapinya kian pulih selepas menjalani lapan sesi kemoterapi sejak disahkan menghidap kanser itu pada Oktober tahun lalu.

Muhammad Anas Ikmal Mohd Khairi, 11, berkata, dia yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Indera Muda, di sini, tidak dapat menyertai beberapa kejohanan sukan yang diadakan pada sesi akhir persekolahan kerana perlu mendapatkan rawatan.

"Banyak kejohanan ragbi dan bola sepak diadakan tetapi saya tidak dapat masuk (ambil bahagian) apabila perlu kerap ke hospital.



"Sekarang, keadaan saya makin baik dan tidak sabar nak kembali ke sekolah. Saya sudah mula bermain sikit demi sikit (bola sepak) tetapi cepat rasa penat.

"Penyakit saya sudah mula baik dan harap dapat betul-betul sembuh supaya dapat kembali menjadi wakil sekolah," katanya ketika ditemui pada Majlis 'Back to School' anjuran Sahabat Kanak-kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan), di sini, semalam.

Sementara itu, ibunya, Noor Naemmah Abdul Hamid, 43, berkata, anak ketiganya itu tidak ke sekolah hampir lima bulan berikutan perlu menjalani rawatan kemoterapi.

"Pada masa ini, biarpun sel kanser tidak merebak namun masih perlu menjalani rawatan susulan.

"Syukur sangat dengan keadaan dia pada masa ini dan harap dia akan sembuh sepenuhnya," katanya yang memaklumkan suaminya iaitu bapa kepada Muhammad Anas Ikmal turut menghidap kanser limfoma.

Dalam pada itu, Pengerusi Foccan, Maznah Tayib berkata, seramai 80 kanak-kanak yang menghidap kanser dan mula pulih menerima bantuan persekolahan bagi meringankan beban keluarga mereka.

"Ini adalah program kali ketujuh yang kita anjurkan bagi membantu kanak-kanak ini yang akan menyambung kembali persekolahan yang tertangguh seketika akibat kanser.

"Kita mahu mereka meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar yang memiliki ilmu dan maju dalam kehidupan seperti kanak-kanak lain.

"Kita berharap sumbangan ini bukan saja dapat membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan sekolah, tetapi tidak menjadikan sakit itu sebagai penghalang untuk berjaya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1060937/kanak-kanak-hidap-kanser-limfoma-tak-sabar-ke-sekolah
Pages: [1]
View full version: Kanak-kanak hidap kanser limfoma tak sabar ke sekolah


ADVERTISEMENT