mattzzx Publish time 14-2-2024 05:14 PM

Simpanan ASB, Tabung Haji RM692,500 lesap ditipu sindiket ‘phone scam’

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/02/GambarHIASAN24_temp_scammer_sephia.png
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM692,500 apabila wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Tabung Haji miliknya lesap selepas diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis kira-kira dua minggu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 38 tahun itu menerima panggilan telefon daripada pihak MCMC pada 28 Januari lalu yang memaklumkan bahawa dia terlibat dengan penipuan wang haram.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diarah untuk berhubung dengan seorang lelaki dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar, Perlis sebelum dimaklumkan terlibat dengan penggubahan wang haram dan aktiviti penyeludupan dadah.

“Talian telefon itu disambung kepada seorang pegawai polis yang memperkenalkan diri sebagai Asisten Komisioner Ismail sebelum mangsa diminta untuk memuat turun aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM).

“Mangsa telah mendaftar melalui aplikasi itu dan mengisi maklumat diri termasuk dua akaun bank miliknya. Pada 30 Januari lalu, lelaki itu kemudiannya memindahkan wang sebanyak RM300,000 daripada akaun ASB ke salah satu akaun banknya.

“Mangsa kemudiannya pergi ke Tabung Haji di sini untuk memindahkan wang sebanyak RM400,000 ke dua akaun banknya pada 4 Februari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, dua hari kemudian, sindiket itu telah melakukan pemindahan wang milik mangsa ke akaun sebuah bank atas nama Go Tian Tian dan Izzu 2023 Enterprise secara berperingkat.

Menurutnya, lelaki itu telah membuat semakan terhadap akaun sebuah banknya dan mendapati wang telah hilang sebelum bertindak menyekat semua akaun bank miliknya.

Katanya, jumlah kerugian yang dialami mangsa sebanyak RM692,500 dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/02/14/simpanan-asb-tabung-haji-rm692500-lesap-ditipu-sindiket-phone-scam/
Pages: [1]
View full version: Simpanan ASB, Tabung Haji RM692,500 lesap ditipu sindiket ‘phone scam’


ADVERTISEMENT