mattzzx Publish time 14-2-2024 04:30 PM

Keadaan Muhammad Amirul tunjuk tanda positif - Ibu

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/MIROL_1707897102.jpg
Wan Murni Wan Ngah, 46 bersama Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid melihat keadaan anaknya, Muhammad Amirul Nazmi Sam, 20 yang Terlantar berikutan Saluran darah ke Otak Pecah ketika ditemui dirumahnya, Kampung Jaba, Bukit Apit, Ajil. FOTO GHAZALI KORI

Kuala Berang: "Jauh dilubuk hati, yakin anak saya akan pulih dan boleh menyambung pengajiannya," kata Wan Murni Wan Ngah dari Kampung Jaba, Bukit Apit, Ajil dekat sini.

Ibu kepada pelajar cemerlang, Muhammad Amirul Nazmi Sam, 20, yang kini terlantar akibat saluran darah ke otaknya pecah bersyukur kerana Petronas dan pemimpin setempat memberi komitmen untuk terus membantu anaknya itu.

Menurutnya, selain memberi komitmen pihak Petronas juga sering berhubung dari semasa ke semasa dalam mengikuti perkembangan anaknya itu.

"Saya yakin Muhammad Amirul akan pulih berdasarkan perubahan yang berlaku seperti pergerakan mata kerana sudah mampu berkelip.



"Selain itu, dia ada memberi isyarat dengan menggelengkan kepala. Ia merupakan perubahan positif," kata ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid.

Menurutnya, melalui rawatan pada akhir Januari lalu, doktor memaklumkan pendarahan di otak anaknya itu semakin berkurangan.

Katanya, rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kini tertumpu pada bahagian tekak dan kepala dan daripada makluman doktor memberitahu penyakit anaknya itu akan pulih secara sendiri.

Wan Murni berkata, dia berdoa agar anaknya kembali pulih dan sihat seperti sebelum ini dan mampu melanjutkan pelajaran seperti yang diinginkan sebelum ini.

"Insya-Allah, saya sebagai ibu dan naluri saya amat yakin Muhammad Amirul mampu kembali pulih walaupun mengambil sedikit masa kerana berdasarkan petunjuk positif ke atas anaknya itu.

"Walaupun sukar namun ini adalah ujian buat saya dan saya akan berusaha menjaganya dengan sebaik mungkin termasuk dari segi perubatan," katanya.

Sementara itu, Rosol berkata, pihak Petronas dan exco kerajaan negeri juga sudah melawat dan bersedia memberi komitmen terhadap Muhammad Amirul.

"Saya mendoakan supaya Amirul, kembali pulih seperti sedia kala kerana berdasarkan maklumat yang diberikan ibunya memaklumkan anaknya itu memberi tindak balas positif.

"Saya juga berharap semoga Amirul, dapat kembali pulih dan melanjutkan pengajiannya seperti yang dirancang sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan mengenai keadaan Amirul yang kini hanya mampu terlantar akibat saluran darah ke otaknya pecah.

Muhammad Amirul disahkan mengalami saluran darah pecah selepas pengsan pada 18 Disember lalu.

Kecemerlangan Muhammad Amirul dalam pelajaran pernah dilaporkan Harian Metro sebelum ini.

Anak kepada seorang tukang cuci itu dilaporkan bakal melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) selepas memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Muhammad Amirul Nazmi adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun, yang mendapat penajaan Petronas selepas memperoleh keputusan 9A dalam SPM 2021.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1060732/keadaan-muhammad-amirul-tunjuk-tanda-positif-ibu
Pages: [1]
View full version: Keadaan Muhammad Amirul tunjuk tanda positif - Ibu


ADVERTISEMENT