sfhzuraz Publish time 14-2-2024 03:05 PM

Nelayan, NGO fail cabar kebenaran merancang projek tambak laut Pulau Pinang

Nelayan, NGO fail cabar kebenaran merancang projek tambak laut Pulau Pinang


Siti Aminah Mohd Yusof
am@hmetro.com.my


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/gadai_1707893844.jpg
Dari kiri Setiausaha Kehormat Sahabat Alam Malaysia (SAM), S Mageswari, Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail (tengah) dan Presiden Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI), Salma Khoo Nasution pada sidang media berhubung permohonan semakan kehakiman projek tambakan laut Pulau Pinang di sini, hari ini. FOTO AMINAH YUSOF



Bayan Lepas: Tujuh nelayan bersama dua individu dari Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi projek tambakan laut Pulau Pinang Selatan (PSI) yang dahulunya dikenali sebagai PSR di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Setiausaha Kehormat SAM, S Mageswari berkata semua sembilan pemohon menyaman Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang (PLANMalaysia), Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang, kerajaan Pulau Pinang dan pemaju projek, SRS Consortium Sdn Bhd masing-masing selaku responden pertama hingga keempat.
Katanya, pada 5 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memberi kebenaran meneruskan permohonan semakan kehakiman dengan Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail selaku pemohon pertama mengambil tindakan itu bagi pihak diri sendiri dan nelayan di selatan pantai Pulau Pinang yang didakwa terjejas teruk akibat projek terbabit.
"Pemohon turut memohon satu deklarasi bahawa Kebenaran Merancang yang diberikan oleh PLANMalaysia pada 21 Ogos 2023 adalah batal dan tidak sah kerana ia melanggar peruntukan-peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (APBD 1976).
"Pemohon juga memohon perintah membatalkan kebenaran merancang kepada kerajaan Pulau Pinang untuk memulakan kerja-kerja penambakan bagi projek PSR di Daerah Barat Daya, Pulau Pinang," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri peguam R Meenakshi serta Presiden JEDI, Khoo Salma Nasution hari ini.
Mageswari berkata, mereka turut memohon mendapatkan perintah supaya kerajaan Pulau Pinang dan SRS Consortium Sdn Bhd segera memulihkan sebarang kerosakan kepada kawasan yang mana kerja-kerja penambakan telah bermula kepada keadaan asal.
Tambahnya, pemohon turut memohon responden membayar ganti rugi kepada nelayan yang kehilangan pendapatan mereka yang akan ditaksirkan pihak mahkamah.
Permohonan semakan kehakiman itu dijadual diperdengarkan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Tunku Intan Nadiah Tunku Mohammed Nazarin di Mahkamah Tinggi di Georgetown pada 19 Februari ini.
Sementara itu, Zakaria mendedahkan sejak projek tambak Pulau Silikon dimulakan di kawasan selatan Pulau Pinang pada 1 September lalu, hasil tangkapan nelayan di kawasan berkenaan terutamanya udang mengalami kemerosotan ketara mencecah 50 peratus.
Beliau berkata, berdasarkan analisis perbandingan suku keempat iaitu bagi September Disember 2022 jumlah tangkapan udang secara purata ialah 192.41 kilogram (kg) namun pada suku keempat tahun lalu, kadar itu menjunam kepada 92.69kg.
"Penurunan lebih ketara menjelang Tahun Baharu Cina yang secara tradisinya dikaitkan dengan tangkapan lebih tinggi berikutan peningkatan permintaan pasaran.
"Januari 2022 menyaksikan tangkapan sebanyak 284.54 kg dan meningkat kepada 286.04 kg pada Januari 2023. Namun, pada Januari 2024, tangkapan turun kepada 120.91 kg iaitu menandakan kejatuhan 57.73 peratus
"Kadar pengurangan berkenaan bukan sahaja menunjukkan penurunan yang ketara dalam purata tangkapan udang tetapi juga meramalkan kerugian 50 peratus dalam purata pendapatan nelayan terlibat," katanya.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa rancangan projek PSI telah dikurangkan daripada tiga pulau kepada hanya satu pulau yang dinamakan sebagai Pulau Silikon iaitu pengurangan dari 1,821 hektar tambakan laut kepada 930 hektar.
Kerja-kerja awal tambakan laut untuk projek PSI itu pula bermula sejak September tahun lalu selepas Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) untuk projek berkenaan memperoleh kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pulau Pinang pada 21 Julai tahun lalu.


Disiarkan pada: Februari 14, 2024 @ 2:57pm


sumber




Pages: [1]
View full version: Nelayan, NGO fail cabar kebenaran merancang projek tambak laut Pulau Pinang


ADVERTISEMENT