mattzzx Publish time 14-2-2024 12:53 PM

Pati ambil Pati bekerja

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/patiakamnn1_1707880389.jpg
SERAMAI 65 warga asing yang bekerja serta tinggal tanpa sebarang pas atau permit yang sah ditahan dalam operasi bersepadu dua hari di sekitar Johor. FOTO Ihsan JIM

Johor Bahru: Seramai 65 warga asing yang bekerja serta tinggal tanpa sebarang pas atau permit sah ditahan dalam operasi bersepadu dua hari di sekitar negeri ini.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, berkata operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor itu membabitkan pemeriksaan 26 premis di daerah ini dan dua premis di Mersing pada Sabtu dan semalam.

Katanya, seorang warga Bangladesh berusia 41 tahun dipercayai Pengurus Premis di daerah ini juga ditahan bagi siasatan mengikut Seksyen 55B kerana mengambil warga asing yang tidak memiliki pas yang sah sebagai pekerja.

Beliau berkata, warga Bangladesh itu turut melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu memasuki negara ini tanpa dokumen.



"Operasi dilakukan susulan aduan awam yang diterima menyatakan terdapat warga asing yang tinggal dan bekerja tanpa pas atau permit yang sah di beberapa premis Johor Bahru dan Mersing.

"Dalam operasi berkenaan seramai 147 orang warga asing serta tempatan telah diperiksa dan 65 daripada mereka ditahan termasuk seorang warga Bangladesh yang bertindak sebagai pengurus premis yang menggajikan warga asing sebagai pekerja.

"Kesemua mereka yang ditahan adalah 30 orang lelaki warga Bangladesh; 15 lelaki dan tiga perempuan warga Indonesia; enam lelaki dan seorang perempuan warga India; lima lelaki warga Pakistan; seorang perempuan warga Thailand; seorang perempuan warga Kemboja; seorang lelaki warga Myanmar; seorang lelaki warga Nepal dan seorang lelaki warga Yaman.

"Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 49 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Baharuddin berkata, kesemua mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah memasuki negara ini.

Selain itu katanya, kesalahan yang dilakukan termasuk Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.

"Sebanyak 11 notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu dalam operasi berkenaan juga dikeluarkan bagi membantu siasatan.

"JIM Johor akan terus mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan di seluruh negeri ini hampir setiap hari bagi membanteras isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dilihat semakin galak menguasai sesuatu kawasan.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap Pati yang melanggar undang-undang serta majikan dan pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan pas atau permit kerja yang sah," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1060585/pati-ambil-pati-bekerja

keranda.terbang Publish time 29-3-2024 02:25 PM

mmg ade pon. belambak kt KL nih
Pages: [1]
View full version: Pati ambil Pati bekerja


ADVERTISEMENT