sfhzuraz Publish time 13-2-2024 07:43 PM

Baju raya baru sampai, rumah pula hangus terbakar

Baju raya baru sampai, rumah pula hangus terbakar


Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/firee_1707823584.jpg
NORHAYATI menunjukkan buku teks yang hangus dalam kebakaran di Kampung Badang, Jalan PCB, petang tadi. FOTO Siti Rohana Idris.



Kota Bharu: Empat beranak dari Kampung Badang, Jalan PCB di sini tidak sempat menjamah hidangan tengah hari apabila rumah mereka terbakar.
Kejadian berlaku jam 3 petang tadi apabila Norhayati Ibrahim, 41, bersama suami dan tiga anaknya berada di dapur dan ternampak cahaya dari bilik tidur mereka.
Norhayati berkata, sebelum kejadian, dia dan suami, Zamzuri Jusoh, 47, baru selesai mencanting batik di hadapan rumah sebelum masuk memasak.
"Selepas siap memasak, kami sekeluarga ingin menjamah makan tengah hari dan tiba-tiba ternampak cahaya terang dari bilik tidur.
"Sebaik mengetahui cahaya itu rupanya api yang sedang marak, saya dan suami terus mendukung serta mengheret tiga anak keluar dari rumah tanpa sempat mencapai apa-apa kecuali beg sandang saya," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Norhayati berkata, jiran tetangga ada juga cuba membantu memadamkan api namun gagal kerana api terlalu marak sehingga rumah sewa yang dihuni mereka serta sebuah lagi kediaman hangus dalam masa yang singkat.
Katanya, dua motosikal milik suami dan anak hangus dan lebih menyedihkan mereka, kelengkapan sekolah serta baju raya yang baru saja dibeli juga tidak dapat diselamatkan.
"Enam pasang baju raya warna sedondon kami beli melalui dalam talian dan baru saja sampai tengah hari tadi malah tiga anak sempat mencubanya.
"Saya juga sudah menyediakan kelengkapan persekolahan dua anak malah mereka juga baru menerima buku teks sebelum tamat persekolahan baru-baru ini tapi kami diuji dengan musibah sebegini.
"Bukan saja perlu menyediakan keperluan sekolah dan raya semula, kami juga buntu untuk mencari rumah sewa baharu kerana kadar sewa semasa agak mahal berbanding rumah lama ini yang hanya RM150 sebulan," katanya yang sudah 15 tahun menyewa rumah terbabit.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.06 petang dan seramai 26 pegawai serta anggota bergegas ke lokasi.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan dua rumah jenis separuh kekal dengan kebakaran hampir 80 peratus.
"Kebakaran dapat dikawal jam 4.03 petang dan padam sepenuhnya setengah jam selepas itu manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.


Disiarkan pada: Februari 13, 2024 @ 7:26pm


Baju raya baru sampai, rumah pula hangus terbakar (hmetro.com.my)




Pages: [1]
View full version: Baju raya baru sampai, rumah pula hangus terbakar


ADVERTISEMENT