mattzzx Publish time 12-2-2024 04:06 PM

90 peratus madu tiruan di pasaran, jadi cabaran besar kepada industri madu

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm282madu_1707717766.jpg
GAMBAR hiasan

Kota Bharu: Madu tiruan yang kini mencecah kira-kira 90 peratus di pasaran menjadi cabaran terbesar kepada industri madu di negara ini.

Pensyarah Kanan Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Zulkifli Mustafa berkata, ujian makmal diperlukan bagi mengenal pasti madu asli yang mempunyai kelebihan dan kebaikan dalam aspek kandungan, khasiat serta kualiti.

Menurutnya, madu adalah makanan lengkap dalam aspek tenaga, protein, vitamin, bakteria baik dan antioksida.

"Melalui kajian, pengambilan madu boleh bantu pencegahan penyakit kronik tidak berjangkit akibat gaya hidup mahupun akibat jangkitan.



"Kajian yang dilakukan melalui khasiat perubatan mendapati madu kelulut dapat meredakan keradangan akibat jangkitan kuman, tekanan atau stres, obesiti dan penuaan serta penyakit kronik," katanya.

Beliau berkata, USM melalui projek penyelidikan madu kelulut USM mengkomersialkan madu kelulut melalui pelan strategik membabitkan pembangunan penternak seramai 4,000 orang.

"Ini dilaksanakan di bawah inisiatif dinamakan KELULUNOMIC, untuk menjamin bekalan berterusan dan dipasarkan melalui syarikat spin-off universiti, iaitu Brainey Sdn Bhd.

"Dalam hal ini, kawalan kualiti yang ketat menjamin keaslian dan konsistensi zat madu yang digunakan dalam ujian-ujian klinikal di mana madu yang diuji ini dikeluarkan kepada pengguna," katanya.

Secara amnya, beliau berkata, madu kelulut mempunyai ciri fizikal yang lebih cair dengan rasa masam manis yang unik dengan aroma bunga atau buah.

Katanya, madu kelulut turut diketengahkan sebagai makanan berkhasiat dan suplemen tambahan membantu pertumbuhan otak kanak-kanak, meningkatkan sistem imun badan, mengawal tekanan emosi dan pencegahan nyanyuk dalam kalangan warga emas.

"Perkembangan kajian saintifik menunjukkan madu kelulut mengandungi pelbagai bahan unik yang penting untuk dijadikan makanan berfungsi bagi membantu kesihatan malahan dinobatkan sebagai superfood di Malaysia.

"Kandungan bahan antioksida seperti asid fenolik dan flavonoid, bahan asid amino, bakteria baik serta vitamin menjadikan madu kelulut makanan lengkap untuk keperluan nutrien harian.

"Malah, dengan adanya gula unik, iaitu gula trehalulosa menjadikan ia low glycaemic selain berperanan sebagai gula alternatif yang tidak merosakkan gigi," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1060043/90-peratus-madu-tiruan-di-pasaran-jadi-cabaran-besar-kepada-industri-madu
Pages: [1]
View full version: 90 peratus madu tiruan di pasaran, jadi cabaran besar kepada industri madu


ADVERTISEMENT