mattzzx Publish time 11-2-2024 11:45 AM

Polis kesan pemandu pecah cermin kenderaan di lebuh raya

https://assets.bharian.com.my/images/articles/logo_polis_1_1707621926.jpg
JOHOR BAHRU: Polis sedang mengesan seorang pemandu kereta jenis Mitsubishi Lancer disyaki terlibat dengan perbuatan khianat memecahkan cermin kenderaan lain di Kilometer 139.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata pihaknya menerima laporan kejadian berkenaan pada 2.36 petang, semalam susulan video tular berdurasi 54 saat itu dikongsikan pemilik akaun Facebook Apple Kenzo.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada tindakan mangsa yang menghalang kenderaan suspek semasa melalui lorong kecemasan menyebabkan suspek dipercayai warga asing, tidak puas hati lalu keluar daripada kenderaan dan memecahkan cermin belakang kenderaan mangsa.

"Perkongsian tersebut telah meraih 2,300 reaksi, 694 komen, 3,000 perkongsian dan ditonton oleh 26,000 warga siber. Kes dikasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun atau tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.



"Siasatan juga dijalankan secara selari dengan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Kumar berkata 70 individu terdiri daripada 48 lelaki, 20 wanita dan dua masih di bawah umur, ditahan dalam operasi khas pusat hiburan dijalankan pada 2 hingga 8 pagi di daerah ini, semalam.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 36 lelaki dan 16 wanita merupakan warga asing berusia antara 16 hingga 50 tahun, ditahan di dua pusat hiburan yang tidak mempunyai lesen serta beroperasi lebih masa.

"Hasil saringan awal air kencing terhadap mereka yang ditahan ini positif dadah jenis Methamphetamine, ketamin dan Tetrahydrocannabinol (THC). Polis akan membuat semakan dengan pihak imigresen untuk mengesahkan ketulenan dokumen perjalanan warga asing berkenaan.

"Permohonan reman akan dilakukan hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6(2) dan 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98," katanya. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/02/1211169/polis-kesan-pemandu-pecah-cermin-kenderaan-di-lebuh-raya
Pages: [1]
View full version: Polis kesan pemandu pecah cermin kenderaan di lebuh raya


ADVERTISEMENT