sfhzuraz Publish time 10-2-2024 12:53 PM

Erti Tahun Baharu Cina buat dua Sarah

Erti Tahun Baharu Cina buat dua Sarah


Siti Aminah Mohd Yusof
am@hmetro.com.my


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/sarah_1707539545.jpg
SARAH Wong (kiri) bersama Siti Sarah meraikan Tahun Baharu Cina bersama keluarga. FOTO Mikail Ong



Georgetown: Sambutan Tahun Baharu Cina diraikan dengan penuh kesyukuran bersama saudara mara dan sahabat handai oleh masyarakat Cina beragama Islam seperti Siti Sarah Tan Abdullah, 55, dan Sarah Wong Yaw Ling, 40.
Siti Sarah yang juga Pengarah Hal Ehwal Saudara Baru Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) menyifatkan tradisi 'makan besar' pada malam perayaan itu amat bermakna dalam mempertautkan hubungan keluarga sama ada jauh atau dekat.
"Rumah ibu di Sungai Petani, Kedah menjadi tumpuan sanak saudara berkumpul pada musim perayaan jadi memang sangat meriah dan saya melihatnya sebagai platform mengeratkan ukhuwah dan silaturahim agar berkekalan sampai bila-bila.
"Maklumlah, saya anak sulung daripada empat beradik dan paling rapat dengan ibu. saya juga mengambil peluang ini untuk berdakwah dengan cara mempamerkan akhlak dan sikap yang baik kepada ahli keluarga," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu memeluk Islam pada 1 April 2014 dan kira-kira setahun sebelum itu beliau menerima tawaran Skim Pemisahan Sukarela (VSS) selepas bekerja dalam bidang perbankan selama 22 tahun.
"Dalam transisi itu saya membuka kedai barangan antik bersama adik lelaki. Sebenarnya mendiang bapa juga seorang 'kolektor'. Jadi kami ikut berminat terutamanya dalam mengumpul koleksi wang dan syiling lama selain jam antik.
"Suatu hari, ada seorang pelanggan datang beli barang di kedai kami dan memberi sebuah buku mengenai persoalan dalam Islam dalam bahasa Inggeris. Rupa-rupanya pelanggan itu adalah jemaah tabligh.
"Pakaiannya biasa saja. Cara berdakwahnya juga santai dan dia juga peminat barangan lama. Jadi, dia ada beberapa kali datang dan menyelitkan penyampaian mengenai agama Islam dalam tempoh berurus niaga itu," katanya.
Siti Sarah berkongsi, beliau bagaikan berasa terpukul apabila jemaah tabligh itu bercerita mengenai azab kubur dan mula mencari maklumat untuk mendekati ajaran Islam secara serius selepas sebelum membuat keputusan memilih Islam.
"Selepas tiga bulan memeluk Islam, bulan puasa tiba. Saya yang ketika itu tinggal bersama ibu 'menghilangkan' diri pada waktu siang dan hanya pulang selepas menunaikan solat terawih jadi lama-lama ibu tahu sendiri.
"Memang lama dia merajuk dan bersikap dingin tetapi saya hanya bersabar dan tetap menemaninya ke mana-mana kerana Islam amat menekankan hubungan baik dengan ibu," katanya yang turut aktif dalam program dakwah jalanan dan masjid di dalam dan luar negara.
Berbeza pula dengan Sarah Wong yang terdetik mendekati Islam pada 2019 ketika berpeluang bekerja di luar negara selama tiga tahun selepas dipindahkan ke Maldives dari cawangan hotel di Pulau Pinang.
"Semasa berada di sana saya baru menyedari, ajaran Islam mengangkat martabat wanita dan begitu menjaga kaum Hawa. Saya lihat di sana, golongan lelaki yang keluar rumah membeli keperluan di rumah termasuk barang-barang untuk isteri mereka.
"Saya kembali ke Pulau Pinang dan Alhamdulillah melafaz syahadah di Masjid Kampung Rawa di sini dan kemudiannya menyertai IPSI sebagai eksekutif akaun, pada Mei tahun lalu," kata anak kelahiran Sandakan, Sabah itu.
Menurutnya, suasana Tahun Baharu Cina tetap bererti dengan amalan ziarah menziarahi meskipun tidak dapat pulang ke kampung halaman dan kali ini dia bersama suami akan menyambut perayaan di ibu kota bersama keluarga sepupunya hari ini.
Anak sulung daripada dua beradik itu amat bersyukur kerana ibu bapanya yang mengusahakan kedai runcit sentiasa memberi sokongan terhadap dirinya dan dia sendiri membesar dalam komuniti masyarakat Melayu dan terbiasa dengan pergaulan bersama umat Islam.


Disiarkan pada: Februari 10, 2024 @ 12:32pm


Erti Tahun Baharu Cina buat dua Sarah (hmetro.com.my)




Pages: [1]
View full version: Erti Tahun Baharu Cina buat dua Sarah


ADVERTISEMENT