mattzzx Publish time 8-2-2024 04:06 PM

Lelaki kebas duit kelab malam punca dibelasah hingga mati

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/02/WhatsApp-Image-2024-02-08-at-1.57.42-PM.jpeg
KUMAR menyampaikan bungkusan kepada pemandu sempena Majlis Pelancaran OP Selamat Ke-21 sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Kontinjen Johor, di Plaza Tol Kempas (arah Utara) Johor Bahru hari ini.-Foto BAAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Polis sedang giat menjalankan siasatan bagi mengetahui motif sebenar kes bunuh seorang lelaki tempatan di kelab malam Route 66, Jalan Abdullah Tahir, Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, siasatan menyeluruh turut dijalankan terhadap seorang suspek berusia 30-an yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai pada Isnin lalu selepas melarikan diri ke luar negara ke Bangkok, Thailand sejurus kejadian itu berlaku.

“Lelaki itu merupakan salah seorang daripada 15 individu yang ditahan antara Ahad dan Isnin lalu bagi membantu siasatan dijalankan.

“Suspek itu berjaya ditahan hasil kerjasama dan pertukaran maklumat rakan kita (polis) di Thailand, dia kemudiannya ditahan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai,” Katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Op Selamat Tahun Baharu Cina 21/2024 Kontinjen Johor, di Plaza Tol Kempas, di sini hari ini.

Memetik laporan media Thailand, ahli perniagaan berusia 31 tahun itu ditahan di sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok kira-kira pukul 4.45 petang.

Hasil siasatan dijalankan, mendapati mangsa yang berusia 24 tahun telah mencuri wang sejumlah RM30,000 daripada kelab malam itu dan digunakan untuk berjudi secara atas talian.

Setelah Polis Thailand merakamkan keterangan suspek yang fasih berbahasa Thailand itu, pihak polis telah berkoordinasi dengan pihak berkuasa Malaysia untuk ekstradisi segera lelaki berkenaan.

Mengulas lanjut, Kumar memberitahu, kesemua suspek ditahan reman sehingga Isnin ini bagi membolehkan siasatan dijalankan.-KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/02/08/lelaki-kebas-duit-kelab-malam-punca-dibelasah-hingga-mati/
Pages: [1]
View full version: Lelaki kebas duit kelab malam punca dibelasah hingga mati


ADVERTISEMENT