mattzzx Publish time 8-2-2024 11:55 AM

19 hotspot warga asing di Johor digempur

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/02/WhatsApp-Image-2024-02-08-at-10.43.05-AM.jpeg
PEGAWAI dan anggota penguatkuasa JIM Johor melakukan pemeriksaan ke atas warga asing dalam operasi dijalankan semalam.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menggempur 19 kawasan ‘hotspot’ dan menahan seramai 50 warga asing termasuk dua kanak-kanak dalam operasi di empat daerah di negeri ini, semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 27 orang warga Myanmar, warga Indonesia (8), warga Bangladesh (7), warga Nepal (4), warga India (2) dan masing-masing seorang warga Pakistan dan Vietnam berusia lingkungan tiga hingga 52 tahun.

Beliau berkata, mereka ditahan itu dipercayai bekerja dan tinggal di Malaysia tanpa sebarang pas atau permit yang sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

Katanya, tangkapan dibuat sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor, pegawai Unit Penguatkuasa Cawangan Muar dan pegawai Unit Penguatkuasa Cawangan Batu Pahat hasil serbuan di 63 premis di Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Pontian.

“Tindakan diambil susulan aduan awam yang diterima menyatakan terdapat beberapa warganegara asing yang tinggal dan bekerja tanpa pas/permit yang sah di lokasi hotspot tersebut.

“Dalam operasi itu, seramai 266 orang warga asing serta tempatan telah diperiksa dan 50 daripada mereka telah ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baharuddin berkata, kesemua mereka dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah.

Tambahnya, sebahagian daripada mereka turut ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.-KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/02/08/19-hotspot-warga-asing-di-johor-digempur/
Pages: [1]
View full version: 19 hotspot warga asing di Johor digempur


ADVERTISEMENT