mattzzx Publish time 7-2-2024 04:52 PM

Awan tebal halang helikopter bawa naik jenazah pendaki wanita

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/02/WhatsApp-Image-2024-02-07-at-3.37.27-PM.jpeg
Helikopter MI-171 Unit Udara JBPM Pengkalan Udara Subang digunakan untuk operasi membawa pulang jenazah pendaki wanita yang meninggal dunia di Gunung Risket, Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.

LIPIS – Awan dan kabus tebal di sekitar Gunung Reskit, Kuala Tahan menyulitkan operasi membawa pulang jenazah pendaki wanita yang meninggal dunia dengan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Timbalan Komander Pangkalan Udara Wilayah Tengah JBPM, Subang, Penguasa Bomba Kanan 1, Mohd Ruzaidi Ramlee berkata, operasi membawa pulang jenazah Allahyarhamah Zahalita Othman, 52, yang masuk hari kedua hari ini mengalami kesukaran akibat cuaca berkabus yang berterusan sepanjang hari.

“Semalam (Selasa) kita terus bergerak dari Pengkalan Udara Subang menaiki helikopter MI-171 Unit Udara JBPM dan sampai di Gunung Reskit, Kuala Tahan pada pukul 6.30 petang.

“Namun hujan lebat telah menghalang helikopter mendekati kawasan terbabit dan kita terpaksa mendarat di Lipis,” katanya ketika ditemui di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford dekat sini hari ini.

Mohd Ruzaidi berkata, operasi menyelamat diteruskan pada pukul 9 pagi hari ini namun sebaik tiba di tempat jenazah pendaki tersebut berada, awan dan kabus tebal telah menghalang pemandangan.

Menurutnya, helikopter berlegar sekitar Gunung Tahan dalam jarak 1,524 meter selama 20 minit namun pasukan penyelamat gagal menembusi kawasan berkenaan.

“Kita membuat keputusan untuk mendarat di Gua Musang bagi tujuan mengisi bahan api. Sebaik selesai, sekali lagi kita pergi ke Gunung Risket untuk cubaan menyelamat kali ke tiga namun menemui kesukaran ekoran awan dan kabus yang masih tebal.

“Justeru itu, kita memutuskan untuk berpatah balik ke Lipis dan mendarat di padang SMK Clifford. Jika cuaca mengizinkan petang ini kami akan bergerak sekali lagi untuk operasi menyelamat ,” ujarnya.

Tambah Mohd Ruzaidi, anggota bomba dari Pusat Mencari dan Menyelamat Gunung Tahan (MOSAR), Merapoh dan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang turut digerakkan untuk operasi menyelamat.

Semalam seorang pendaki wanita meninggal dunia di Gunung Reskit dekat Kuala Tahan, Jerantut, kira-kira pukul 7.30 pagi dipercayai akibat sesak nafas. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/02/07/awan-tebal-halang-helikopter-bawa-naik-jenazah-pendaki-wanita/
Pages: [1]
View full version: Awan tebal halang helikopter bawa naik jenazah pendaki wanita


ADVERTISEMENT