mattzzx Publish time 7-2-2024 02:18 PM

Ayam naik harga: 11 notis dikeluarkan kepada pembekal, peniaga

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/HQ011123AA001_1707279631.jpg
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Kulai: Sebanyak 11 notis dikeluarkan kepada pembekal dan peniaga ayam segar di negeri ini susulan pemeriksaan dilakukan berikutan dakwaan kenaikan harga bahan mentah itu, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata, ia membabitkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan yang dikeluarkan kepada pembekal dan peniaga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Katanya, notis itu bagi membolehkan pembekal dan peniaga mengemukakan invois dan dokumen berkaitan bagi membuktikan berlaku kenaikan harga dalam rantaian bekalan.

Beliau berkata, jika perkara itu gagal dibuktikan pembekal dan peniaga, mereka akan dikompaun atau didakwa di mahkamah kerana pencatutan.



"KPDN Johor tidak pernah berdiam diri dan memeriksa harga barangan terutama bahan mentah setiap hari bagi memastikan tiada unsur pencatutan dan manipulasi harga berlaku.

"Sebanyak 11 notis dikeluarkan penguat kuasa KPDN dalam pemeriksaan bahan mentah membabitkan ayam segar yang dilakukan di negeri ini, semalam.

"Kita akui terdapat sedikit peningkatan harga ayam segar selepas tiada lagi kawalan terhadap bahan mentah itu, namun ia tidaklah terlalu ketara.

"Bagaimanapun, kita akan terus meningkatkan pemeriksaan harga bahan mentah bagi memastikan tiada pencatutan dan manipulasi harga berlaku apatah lagi dalam suasana musim perayaan ketika ini," katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelupusan barangan palsu membabitkan pelbagai jenama di Stor Eksibit KPDN Johor, di Senai, hari ini.

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/7224aisyah1_1707279635.jpg
LILIS (tengah) menggunting produk tiruan yang dirampas pada Program Pelupusan Ekshibit KPDN. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Kelmarin, harga ayam segar yang dijual di sekitar bandar raya ini dilaporkan naik 30 sen kepada RM9.80 sekilogram.

Tinjauan di pasar basah sekitar Perling, Tampoi dan Skudai mendapati kenaikan harga ayam segar itu menyebabkan jualan ayam segar tidak serancak sebelum ini.

Terdapat juga aduan pengguna memaklumkan ayam segar dijual sehingga RM12 sekilogram di kawasan mereka, susulan laporan kenaikan harga ayam itu disiarkan kelmarin.

Dalam pada itu, Lilis Saslinda berkata, bekalan ayam segar di negeri ini juga masih mencukupi menerusi pemeriksaan yang dibuat setakat ini.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan terus meningkatkan pemeriksaan bagi memastikan tiada isu kekurangan membabitkan bekalan bahan mentah menjelang musim perayaan hujung minggu ini.

"KPDN Johor berharap orang ramai segera menyalurkan aduan mereka kepada kami sekiranya terdapat kenaikan harga atau pun bekalan bahan mentah tidak mencukupi di kawasan mereka.

"Ia bagi membolehkan kami segera bertindak bagi mengatasi sama ada isu kenaikan harga barang atau masalah kekurangan bekalan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1058442/ayam-naik-harga-11-notis-dikeluarkan-kepada-pembekal-peniaga
Pages: [1]
View full version: Ayam naik harga: 11 notis dikeluarkan kepada pembekal, peniaga


ADVERTISEMENT