mattzzx Publish time 6-2-2024 09:16 AM

Pelanggan 'marah' sebab jual sate 70 sen secucuk!

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/sate70rt_1707172264.jpg
NORIZA dan Izzat menunjukkan hidangan sate yang dijual digerainya di Taman Dato Lela Maharaja, Rembau.

Rembau: Ketika harga barang mentah meningkat saban tahun dan peniaga pula tidak tahan dengan kenaikan kos, pasangan ini masih mengekalkan harga sate 70 sen secucuk sejak dua tahun lalu.

Noriza Heryati Mohamad Zukri, 40 dan suaminya Izzat Amir Adam, 45, menyediakan 800 cucuk sate sehari dan kebiasaannya semuanya habis terjual, malah pernah laris dalam masa dua jam sahaja mereka beroperasi.

Noriza Heryati berkata, dia pernah dimarahi pelanggan kerana terkejut dengan harga murah sate yang dijualnya, namun sehingga kini tidak pernah terfikir untuk menaikkan harga.

"Memang diakui harga barang mentah semua meningkat termasuk ayam dan daging.



"Namun, prinsip saya, kami mahu semua dapat merasa untuk makan satay kerana bukan semua orang mampu.

"Kami faham situasi bagi golongan yang kurang berkemampuan kerana sebelum kami berniaga, suami juga hanya pekerja kilang," katanya ketika ditemui di warungnya di Taman Dato Lela Maharaja, di sini.

Noriza Heryati berkata, meskipun keuntungan yang diperoleh tidak lumayan seperti peniaga lain, namun dia bersyukur kerana rezekinya sekeluarga tidak pernah putus.

"Jika diikutkan bagi kawasan Rembau, harga sate ayam RM1.30 ke atas secucuk manakala sate daging lembu pula RM1.50 hingga RM1.80 secucuk.

"Kami menyediakan 800 cucuk sate sehari iaitu 500 ayam dan 300 daging.

"Harga sate ayam 70 sen secucuk, daging 90 sen, perut RM1.20 dan kambing RM1.50 manakala nasi impit 60 sen seketul," katanya.

Izzat Amir berkata, antara rahsia bagi memastikan sate dihasilkan sentiasa segar dan rasanya dikekalkan adalah memastikan satay yang dijual baharu setiap hari dan diperap semalaman.

"Moyang saya memang penjual sate sebelum diturunkan ke generasi termasuk saya sendiri yang baru sahaja belajar dari abang kira-kira dua tahun lalu.

"Pada awalnya kami mengambil sate mentah dari abang di Melaka dan bakar di rumah kami.

"Melihat kepada permintaan, kami mencari warung dan mula meniaga di sini kira-kira setahun lalu.

"Kini kami tidak lagi ambil sate dari Melaka, sebaliknya sudah membuatnya sendiri selepas belajar dari abang," katanya.

Menurutnya, sehingga kini dia masih bekerja kilang, namun bagi memastikan operasi jualan sate lancar, dia mengambil tiga pekerja sambilan untuk mencucuk dan membakar.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1057976/pelanggan-marah-sebab-jual-sate-70-sen-secucuk
Pages: [1]
View full version: Pelanggan 'marah' sebab jual sate 70 sen secucuk!


ADVERTISEMENT