mattzzx Publish time 5-2-2024 05:55 PM

'Taman rekreasi RM200 juta di Pulau Pinang rosak pada hari pembukaan'

https://assets.bharian.com.my/images/articles/bhtaman05_1707108833.jpg
Antara kerosakan kepada kemudahan rekreasi Taman Gurney Bay pada hari pembukaan kepada orang awam semalam. - Foto FB Lim Guan Eng

GEORGETOWN: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mempersoalkan kualiti kerja Fasa Pertama Taman Gurney Bay di sini yang dilaporkan mengalami keretakan struktur konkrit, meskipun projek bernilai lebih RM200 juta itu baru dibuka kepada orang awam semalam.

Bekas Ketua Menteri itu berpandangan, nilai yang dibelanjakan sepatutnya membawa projek itu kepada sebuah taman rekreasi bertaraf antarabangsa dan isu sedemikian menimbulkan keraguan dan tanda tanya mengenai perancangan asal, reka bentuk dan pemantauan hasil kerja projek terbabit.

"Rosak sebaik siap dibina? Bukan sahaja tali pada alat permainan yang dilaporkan rosak, namun struktur konkrit juga dilaporkan telah retak semasa pembukaan Fasa Pertama Taman Gurvey Bay yang baru dibuka kepada orang awam.

"Fasa Pertama Projek Taman Gurney Bay ini melibatkan kos sebanyak RM247 juta penuh dengan reka bentuk dinding konkrit menimbulkan keraguan dan tanda tanya mengenai perancangan asal, reka bentuk, pemantauan hasil dan juga kualiti kerja.



"Mujurlah pihak terbabit bertindak selepas aduan disampaikan, namun ia tidak dapat mengelakkan persoalan mengenai kualiti kerja," kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya hari ini.

Guan Eng turut berkongsi dua keping gambar menunjukkan tali pada alat permainan kanak-kanak di taman berkenaan yang rosak dengan hantaran berkenaan telah meraih lebih 470 reaksi serta lebih 120 komen daripada pengguna media sosial itu sejak dimuat naik sejam lalu.

Semalam, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan pembukaan Fasa Pertama Gurney Bay kepada orang awam dan menyifatkannya sebagai taman rekreasi untuk seisi sekeluarga dengan lokasi unik yang terletak di sebelah laut dengan pemandangan pantai.

Fasa Pertama berkeluasan 11.2 hektar dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya taman permainan, taman untuk sukan luncur, kiosk penjaja, dek melihat sudut pandang selatan, tandas awam dan tempat letak kereta terbuka.

Kon Yeow turut dilaporkan berkata, Fasa Pertama Gurney Bay yang dibina atas tanah tebus guna mengambil masa kira-kira satu tahun tujuh bulan untuk disiapkan selepas pecah tanah pada 14 Mei 2022.

Manakala Fasa Kedua meliputi 28.8 hektar merangkumi pusat penjaja, kawasan runcit, kedai serbaneka, dek melihat utara, kiosk penjaja tambahan, tempat letak kereta bertingkat, taman air, surau, jeti teksi air, pantai buatan dan banyak lagi.

Perkembangan Fasa Kedua Taman Gurney Bay kini mencapai 40 peratus dan dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1208873/taman-rekreasi-rm200-juta-di-pulau-pinang-rosak-pada-hari-pembukaan
Pages: [1]
View full version: 'Taman rekreasi RM200 juta di Pulau Pinang rosak pada hari pembukaan'


ADVERTISEMENT