sfhzuraz Publish time 5-2-2024 10:02 AM

Air terjun bagai tapak sampah

Air terjun bagai tapak sampah


Siti Aminah Mohd Yusof
am@hmetro.com.my


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/airtejunlps1_1707087609.jpg
ZULKIFLI (kanan) menunjukkan kawasan Air Terjun Bayan Lepas atau dikenali sebagai Air Terjun Pak Lah yang dicemari sampah selain ditumbuhi semak-samun. FOTO Siti Aminah Mohd Yusof



Georgetown: Satu ketika dulu, kawasan Air Terjun Bayan Lepas di sini menjadi satu lokasi tumpuan orang ramai untuk berkelah dan menghilangkan tekanan dengan berseronok bersama keluarga atau rakan-rakan.
Malah, ia juga pernah menjadi lokasi Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi mandi-manda ketika zaman kanak-kanaknya.
Namun, kini keadaannya sangat menyedihkan apabila kawasan persekitaran dipenuhi sampah sarap, dipenuhi semak samun, selain airnya tercemar.
Tinjauan Harian Metro mendapati ada segelintir individu tidak bertanggungjawab dipercayai penduduk di pangsapuri berdekatan bertindak mencampakkan sampah serta pelbagai barangan yang tidak diperlukan sesuka hati dari kediaman mereka.
Bukan hanya sampah biasa seperti lampin pakai buang, bekas makanan, botol, plastik, sisa makanan, malah sisa domestik seperti televisyen, tilam serta bantal buruk turut dilihat bertaburan di sekitar memenuhi tebing berdekatan air terjun terbabit.
Seorang penduduk, Daud Abdul Rani, 60, berkata, selain dipenuhi sampah sarap dan semak-samun, ia juga dipercayai menjadi port hidu gam dan menghisap dadah kerana lokasinya terpencil.
"Kami penduduk tempatan di sini tidak berani ke kawasan air terjun kerana risaukan keselamatan.
"Seingat saya sudah lebih 10 tahun tiada siapa sanggup mandi di situ, tetapi, ada juga warga asing yang mandi dan membasuh baju di situ ketika kawasan ini berdepan masalah bekalan air baru-baru ini.
"Sebelum ini, saya pernah lihat kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) datang membawa sampah keluar dari kawasan ini tapi amat jarang.
"Tetapi, selepas itu orang ramai kembali membuang sampah, jadi masalah sampah di kawasan itu seolah-olah tiada jalan penyelesaian," katanya.
Menurutnya, lokasi berkenaan sepatutnya dipulihara dan dijadikan tempat rekreasi untuk manfaat penduduk setempat dan pelancong.
"Lokasi ini wajar dikomersialkan kerana pernah menjadi menjadi tempat Pak Lah (bekas perdana menteri) mandi ketika kecil, jadi nilai untuk diketengahkan.
"Lagipun, sekarang ini susah nak jumpa air terjun di Pulau Pinang kerana kebanyakannya sudah kering...kalau adapun tempatnya jauh di Balik Pulau.
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/airtejunlps2_1707087613.jpg
LOKASI terpencil menyebabkan air terjun turut dijadikan port hidu gam dan mat dadah. FOTO Siti Aminah Mohd Yusof





Sementara, Pegawai Luar Bandar Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Zulkifli Yusuf berkata, dia terkejut apabila melihat sekitar kawasan air terjun itu tidak terurus.
Katanya, masalah sampah di kawasan itu pernah diangkat pada 2016 namun tidak menyangka kawasan itu kembali dicemari sisa buangan domestik.
"Sedangkan kawasan air terjun turut dikenali Air Terjun Pak Lah ini boleh dimanfaatkan sebagai sumber alternatif kepada penduduk sekitar terutama sewaktu insiden gangguan air di Pulau Pinang.
"Baru-baru ini apabila ada masalah air ramai di antara kenalan saya mencari sumber alternatif seperti sungai dan lokasi tempat ini juga boleh ditemui berdasarkan carian Air Terjun Bayan Lepas di peta Google.
"Tetapi mengejutkan, apabila mereka sampai, jalan ke kawasan air terjun ini hampir tidak boleh dilalui kerana dipenuhi sampah. Saya sangka masalah ini sudah selesai selepas pendedahan mengenainya dibuat beberapa tahun lalu," katanya.
Beliau berkata, sampah yang dibuang dikhuatiri mengundang pencemaran serius selain penyakit berjangkit disebabkan kehadiran haiwan vektor seperti tikus apatah lagi kawasan ini sangat terbiar tapi tidak dikawal dengan baik.
Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.


Disiarkan pada: Februari 5, 2024 @ 7:00am


Air terjun bagai tapak sampah (hmetro.com.my)




Pages: [1]
View full version: Air terjun bagai tapak sampah


ADVERTISEMENT