mattzzx Publish time 4-2-2024 05:23 PM

Jurulatih renang terima musibah angkara penghuni lama berhutang

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm281renang_1707027699.jpg
JURULATIH renang menerima ancaman dipercayai akibat penghuni lama berhutang dengan ceti haram.

Johor Bahru: Jurulatih renang dikejutkan dengan bunyi letupan di luar rumah sebelum mendapati keretanya sedang terbakar di Taman Johor Jaya, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku pada 4 pagi apabila wanita berusia 21 tahun itu mendakwa terdengar bunyi letupan di bahagian luar rumah.

Menurutnya, apabila mangsa keluar rumah, dia mendapati kereta Proton Persona miliknya yang diletakkan di luar pagar rumah sedang terbakar lalu bertindak memadam api.

"Hasil siasatan mendapati kebakaran membabitkan bahagian bumbung, but hadapan dan pintu sebelah penumpang kereta, namun tiada kamera litar tertutup (CCTV) dikesan di lokasi kejadian.


"Polis juga menemukan sekeping nota bertulis 'this burn just warning, whatsapp call Golden Now XX-XXXX-XXXX and XX-XXXX-XXXX and and Sattle' (kebakaran ini hanya amaran, sila hubungi Whatsapp dan selesai).

"Nota berkenaan yang ditampal di but belakang kereta dirampas untuk dihantar ke Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bagi proses penimbulan cap jari," katanya.

Sohaimi berkata, mangsa tinggal di rumah teres satu tingkat itu bersama ibu dan abangnya sejak November 2013.

"Mangsa mahupun ahli keluarganya menafikan memiliki musuh atau berhutang sepanjang tinggal di kawasan perumahan itu.

"Namun, berdasarkan nota yang ditinggalkan, dipercayai penghuni lama ada berhutang dengan peminjam wang," katanya memaklumkan mangsa mengalami kerugian berjumlah RM1,200.

Katanya, polis kini memburu individu yang terbabit dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

Tinjauan di rumah mangsa mendapati pagar kediamannya turut ditampal notis dipercayai perbuatan ceti haram.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1057451/jurulatih-renang-terima-musibah-angkara-penghuni-lama-berhutang
Pages: [1]
View full version: Jurulatih renang terima musibah angkara penghuni lama berhutang


ADVERTISEMENT