sfhzuraz Publish time 2-2-2024 12:31 PM

TLDM terima 4 FIC G2000 Mk II

TLDM terima 4 FIC G2000 Mk II


Rafiqah Dahali
am@hmetro.com.my


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/pemianatas1_1706847940.jpg
DEMONSTRASI keupayaan bot pemintas laju atau dikenali sebagai Fast Interceptor Craft (FIC)G2000 Mk II. FOTO Jabatan Penerangan Sabah



Kota Kinabalu: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima empat aset baharu iaitu bot pemintas laju atau Fast Interceptor Craft (FIC) G2000 Mk II bagi fasa pertama, hari ini.
Majlis penyerahan secara simbolik itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Gading Marine Industry (M) Sdn Bhd (GMI), Datuk Jamalolail Mohd Yatim kepada Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hadir menyaksikan sesi penyerahan di Markas Pemerintahan Armada Timur Pangkalan TLDM, di sini.
Projek perolehan yang dimeterai dengan syarikat GMI merekodkan empat FIC G2000 Mk II fasa pertama yang dibina sepenuhnya di fasiliti limbungan di Lumut Port Industrial Park, Perak dan ia disempurnakan dalam tempoh 16 bulan.
Abdul Rahman ketika berucap berkata, perolehan FIC G2000 Mk II membabitkan tiga fasa yang mana TLDM akan menerima keseluruhan sebanyak 13 FIC secara berperingkat.
"Berbanding FIC terdahulu, FIC G2000 Mk II ini unik kerana ia dilengkapi dengan Remote Control Weapon Station (RCWS) Escribano yang membolehkan penembakan senjata jenis CANiK M2 Quick Change Barrel (QCB) 12.7mm Heavy Machine Gun (HMG) dilaksanakan secara automatik.
"FIC G2000 Mk II dengan panjang 18 meter ini juga dilengkapi dengan enjin yang lebih berkuasa dan berkemampuan mencapai kelajuan sehingga 52 knot.
"Selain itu, susun atur dalaman FIC ini juga ditambah baik bagi memberikan lebih keselesaan kepada kru ketika melaksanakan operasi," katanya
Beliau berkata, berdasarkan kepada Konsep Operasi (CONOP) yang dibangunkan, FIC berperanan sebagai elemen sokongan pertahanan maritim kepada TLDM dalam meningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan terutamanya di perairan cetek serta berpulau.
"Di samping itu, FIC ini juga akan digunakan bagi menyokong operasi menangani ancaman bukan tradisional dan asimetrik dengan lebih efektif.
"Ancaman bukan tradisional seperti jenayah rentas sempadan, penyeludupan, pemerdagangan manusia, rompakan di laut dan aktiviti pelanunan sentiasa membayangi keselamatan perairan negara.
"FIC ini direka khas dengan ciri-ciri kecekapan, kelajuan dan ketepatan bagi membolehkan TLDM bertindak dengan pantas dalam mencegah aktiviti sebegini berlaku di dalam perairan negara kita," katanya.
Empat FIC G2000 Mk II yang diterima akan ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan bagi memperkasakan tahap keselamatan maritim terutamanya di perairan Sabah Timur selain bertindak sebagai aset pelengkap kepada TLDM.


Disiarkan pada: Februari 2, 2024 @ 12:18pm


TLDM




Pages: [1]
View full version: TLDM terima 4 FIC G2000 Mk II


ADVERTISEMENT