mattzzx Publish time 1-2-2024 04:19 PM

Dipenjara tiga hari, denda RM10,000 rasuah penguat kuasa JPJ RM500

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/02/rasuah-penguat-kuasa-JPJ-e1706760910764.jpeg
Dua lelaki dijatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda sebanyak RM10,000 di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini. - Foto oleh MOHD SHAHJEHAN MAAMIN / KOSMO!

SEREMBAN – Dua lelaki dijatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda sebanyak RM10,000 di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah merasuah anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kelmarin.

Tertuduh, P. Pubalan, 41, yang bekerja sebagai ejen ais batu dan Yam Seng Chaow, 26, yang bekerja sebagai penyelia kilang ais membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mahkamah turut menetapkan empat bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan serta wang rasuah dilucut hak dan dimasukkan sebagai hasil kerajaan.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya dengan niat bersama telah secara rasuah memberikan satu suapan, iaitu wang tunai RM500 kepada Pegawai JPJ sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang lelaki yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu tanpa lesen memandu (CDL), tiada lesen kenderaan barangan (GDL) dan LKM tamat tempoh.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Jalan Rasah, di sini, 30 Januari lalu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Plaza Metro Prima, Kepong, di sini, pada 28 Jun tahun lalu mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali, manakala, tertuduh diwakili Peguam M. Siveram. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/02/01/dipenjara-tiga-hari-denda-rm10000-rasuah-penguat-kuasa-jpj-rm500/
Pages: [1]
View full version: Dipenjara tiga hari, denda RM10,000 rasuah penguat kuasa JPJ RM500


ADVERTISEMENT