sfhzuraz Publish time 31-1-2024 06:32 PM

Penternak babi Pulau Pinang rugi RM30 juta akibat ASF

Penternak babi Pulau Pinang rugi RM30 juta akibat ASF


Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my


https://assets.hmetro.com.my/images/articles/hm31sairaa_1706696287.jpg
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab ketika sidang media di Ibu Pejabat JPV Pulau Pinang, Jalan Bukit Tengah. FOTO DANIAL SAAD



Bukit Mertajam: Seramai 20 penternak babi di Pulau Pinang mengalami kerugian hampir RM30 juta apabila ternakan mereka terpaksa dilupuskan susulan dijangkiti Demam Babi Africa (ASF), tahun lalu.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri Dr Saira Banu Mohamed Rejab, berkata kesemua penternak yang terbabit sudah menerima bayaran pampasan sekali gus meringankan beban mereka.
Katanya, JPV negeri perlu membuat pelupusan bagi memastikan ASF tidak merebak ke ladang lain, termasuk meningkatkan tindakan penguatkuasaan.
"Untuk pengetahuan, ASF mula dikesan pada 3 Januari dan kes terakhir yang direkodkan adalah pada 15 Mac tahun lalu.
"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 27,344 ekor babi dilupuskan dengan nilai lebih RM29 juta membabitkan 20 penternak di daerah Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah.
"Kesemua penternak sudah menerima bayaran pampasan sekitar RM6.026 juta yang diluluskan bagi membantu meringankan beban mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung Laporan Pencapaian Penguatkuasaan di Bawah Perundangan JPV Pulau Pinang bagi tahun 2023 di Pejabat JPV negeri di Bukit Tengah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saira Banu berkata, ASF di Pulau Pinang tidak berlarutan terlalu lama berikutan kesedaran penternak dan penguatkuasaan JPV dalam membendung virus itu daripada merebak.
"Ketika ASF melanda penternak mula mengetatkan biosekuriti ladang mereka dan pada masa sama pihak JPV pula melakukan penguatkuasaan dengan membuat kawalan pemindahan babi ke rumah sembelihan hanya untuk mereka yang ada permit.
"Bagi mereka yang didapati melakukan pemindahan tanpa kebenaran, tindakan rampasan diambil termasuk melucut hak dibawah bahagian perundangan," katanya.
Jelasnya, selepas ASF berakhir tiada lagi kes dicatatkan sehingga hari ini namun pihaknya sentiasa melakukan pemantauan berikutan bimbang sekiranya ia berlaku lagi, terutamanya menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Dalam pada itu, Saira Banu berkata, tahun lalu sebanyak tujuh kes pemindahan tanpa kebenaran dicatatkan membabitkan 23 ekor lembu dan kerbau serta 287 ekor babi dengan penternak yang bersalah didenda RM26,000 manakala nilai yang dilucuthak adalah RM100,600.
Tegasnya sepanjang tahun lalu juga sebanyak 34 kes dengan nilai kompaun berjumlah RM270,000 dikeluarkan terhadap penternak yang melanggar Enakmen Penternakan Babi 2020.
"Enakmen Penternakan Babi 2020 mula dikuatkuasakan pada 2021 dalam memastikan semua penternak menaiktaraf sistem kandang terbuka kepada tertutup," katanya.


Disiarkan pada: Januari 31, 2024 @ 6:18pm


Penternak babi Pulau Pinang rugi RM30 juta akibat ASF (hmetro.com.my)




Pages: [1]
View full version: Penternak babi Pulau Pinang rugi RM30 juta akibat ASF


ADVERTISEMENT