mattzzx Publish time 30-1-2024 10:17 AM

18 sekolah di Johor dikenal pasti jadi PPS, jika banjir ketika SPM 2023

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/SPM_Centre311223_1706579484.jpg
FOTO HIASAN.

Johor Bahru: Sebanyak 18 sekolah di enam daerah di negeri ini yang terbabit dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, dikenal pasti untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS), sekiranya berlaku banjir sepanjang tempoh peperiksaan berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan berkata, dalam situasi itu, 21 pusat peperiksaan akan terbabit di 18 sekolah berkenaan, yang dikenal pasti di Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Segamat, Kulai dan Tangkak.

Bagaimanapun katanya, setakat ini, perjalanan SPM 2023 di negeri ini mahupun di seluruh negara dalam keadaan baik dan akses ke pusat-pusat peperiksaan boleh dilalui dengan selamat.

"Laporan pagi ini, perjalanan SPM tidak ada masalah terutamanya akses ke pusat peperiksaan boleh dilalui, walaupun ada negeri yang masih dilanda banjir," katanya ketika sidang media selepas Lawatan Kerja sempena Hari Pertama Peperiksaan Bertulis SPM 2023 di Sekolah Tun Fatimah (STF) di sini, hari ini.



Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor (Sektor Pengurusan Sekolah), Anuar Sukiran; Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Saliman Selamat; Pengetua STF, Radziah Mohd Din dan Focal Person Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kebangsaan, Datuk Yahya Jaafar.

Sementara itu, Azman berkata, 58 pusat peperiksaan dan laluan ke pusat peperiksaan di negeri ini turut dikenal pasti berisiko berdepan banjir sepanjang tempoh peperiksaan ini.

Terdahulu, Azman turut menyampaikan kata-kata semangat kepada 148 calon di STF termasuk anak bongsunya, Farah Amira Aqilah Azman yang turut menduduki SPM 2023, dengan peperiksaan bertulis yang bermula, hari ini.

Seramai 395,870 calon menduduki SPM 2023 di 3,340 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Di Johor, 48,426 calon menduduki peperiksaan itu di 364 pusat peperiksaan, yang membabitkan 301 sekolah.

Menurut Azman, daripada jumlah keseluruhan calon itu, seramai 161 orang adalah calon berkeperluan pendidikan khas.

"Seramai 5,018 orang petugas peperiksaan termasuk ketua pengawas, penyelia kawasan dan petugas guru, bertugas di Johor, bagi SPM kali ini," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/01/1055651/18-sekolah-di-johor-dikenal-pasti-jadi-pps-jika-banjir-ketika-spm-2023
Pages: [1]
View full version: 18 sekolah di Johor dikenal pasti jadi PPS, jika banjir ketika SPM 2023


ADVERTISEMENT