mattzzx Publish time 27-1-2024 05:35 PM

Askar terjun laut selamatkan pasangan dinaikkan pangkat

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/01/askar-terjun-laut-naik-pangkat-2048x1382.jpeg?v=1706330816
Muhammad Hafizuddeain menyerahkan lambang tertinggi keberanian warga TDM Pisau Tentera Darat kepada Mazlan sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di Pusasda, hari ini. - Foto oleh MOHD SHAHJEHAN MAAMIN / KOSMO!

PORT DICKSON – Keberanian seorang anggota tentera terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang menyelamatkan dua individu pada 15 Januari lalu mendapat penghargaan bermakna apabila dinaikkan pangkat daripada Koperal kepada Sarjan.

Mazlan Abdul Rahman, 35, dinaikkan pangkat berkuat kuasa hari ini selepas penganugerahan kepadanya oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini, hari ini.

Dalam masa sama, Mazlan yang turut dianugerahkan lambang tertinggi keberanian warga Tentera Darat Malaysia (TDM) Pisau Tentera Darat, menerima Sijil Penghargaan Khas di atas keberanian luar biasa yang dipamerkan dan sumbangan peribadi daripada PTD.

Ketika ditemui pemberita, Mazlan bersyukur diberikan penghargaan tersebut dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat selain tidak mengharapkan balasan terhadap tindakannya menyelamatkan dua individu tersebut.

Ujarnya, beliau berasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan mereka dan dengan izin Allah serta bantuan daripada maritim dan bomba, dia berjaya menyelamatkan mangsa.

“Masa terjun tak fikir apa-apa tapi nyawa milik Allah. Mak saya selalu pesan hafal surah al-Mulk, jadi kamu tidak akan takut untuk kematian.

“Saya tak kenal siapa kat bawah (lemas), dengan kursus serta pengalaman yang ada dan izin Allah saya berjaya menyelamatkan mereka,” katanya yang telah berkhidmat 14 tahun dalam pasukan tentera.

Sementara itu, Muhammad Hafizuddeain berkata, pihaknya mahu menjadikan Mazlan sebagai ikon yang boleh diidolakan anggota bukan hanya disebabkan keberanian yang ditonjolkan, namun tindakan terpuji bagi membantu di saat memerlukan. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/01/27/askar-terjun-laut-selamatkan-pasangan-dinaikkan-pangkat/

prettyuglybabe Publish time 29-1-2024 10:23 AM

tahniah.. berbaloi dengan pengorbanan..

kakigebang Publish time 2-2-2024 02:48 PM

tahniah sarjan...anda memang berani , lambang keberanian TDM
Pages: [1]
View full version: Askar terjun laut selamatkan pasangan dinaikkan pangkat


ADVERTISEMENT