sfhzuraz Publish time 23-1-2024 12:01 PM

Lelaki edar dadah RM19 juta dihadap ke mahkamah hari ini

Lelaki edar dadah RM19 juta dihadap ke mahkamah hari ini


Oleh Aizat Sharif - Januari 23, 2024 @ 11:23am bhnews@bh.com.my



https://assets.bharian.com.my/images/articles/polis2_1705980219.jpg
Mohd Fazli dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini atas dakwaan mengedar dadah bernilai RM19 juta. NSTP/Aizat Sharif



KANGAR: Seorang pekerja rencam dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan mengedar dadah jenis syabu bernilai RM19 juta di Padang Besar pada 10 Januari lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Fazli Aziz, 36, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Fazli didapati mengedar dadah jenis syabu seberat 528 kilogram di kawasan semak Hutan Simpan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Hutan Simpan Mata Ayer Perlis Utara, Padang Besar pada jam 4 pagi 10 Januari lalu.
Susulan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh memandangkan kes berkenaan tidak boleh diberi jaminan.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menantikan laporan kimia.
Polis pada sidang medianya 15 Januari lalu, memaklumkan kejayaan melumpuhkan sindiket pengedaran dadah terbesar di Perlis menggunakan kawasan Hutan Simpan Persekutuan FRIM di Padang Besar sebagai lokasi transit selepas merampas 528 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM19 juta.
Dalam kejadian itu juga, empat lelaki berusia antara 21 hingga 42 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Kamarudin Md Din, berkata sindiket itu terbongkar selepas anggota polis daripada JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun di sebuah rumah di sekitar Padang Besar yang kemudian membawa polis kepada satu tempat penyimpanan dadah di kawasan Hutan Simpan Persekutuan FRIM di Jalan Tasoh-Kaki Bukit-Padang Besar.
sumber





Pages: [1]
View full version: Lelaki edar dadah RM19 juta dihadap ke mahkamah hari ini


ADVERTISEMENT