mattzzx Publish time 18-1-2024 11:22 AM

Bekas tentera usahakan tanah terbiar kini bergelar usahawan tani

https://assets.bharian.com.my/images/articles/tebu_1705546025.jpg
Mohd Farid (kanan) memantau aktiviti pengurusan ladang di tapak projek ladang integrasi yang diusahakan di Kampung Labu Hilir, Labu, dekat Seremban. NSTP/ Mohd Amin Jalil

SEREMBAN: Bermula dengan tanah hanya berkeluasan 0.8 hektar pada awal 2022, kini tiga sahabat meluaskan projek perladangan integrasi yang dilaksanakan mereka di dua lokasi berasingan di Kampung Labu Hilir dan Kampung Tiroi, Labu, dekat sini, kepada lebih enam hektar.

Projek itu dijayakan bersama Mejar (B) Mohd Farid Daud, 37, dan Ahmad Hazid Mat Hassan, 37, masing-masing bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Mohd Affendy Daud, 43.

Ketua projek, Mohd Farid, berkata kedua-dua lokasi tapak projek itu disewa daripada penduduk tempatan yang sebelum ini adalah tanah terbiar.

Katanya, pihaknya memulakan projek ladang integrasi itu pada awal 2022 dengan menanam labu manis, pisang, tebu dan rumput napier, selain ternakan ayam kampung dan ikan keli.



"Kami bermula pada skala kecil bagi menimba pengalaman tetapi disebabkan permintaan yang tinggi dan potensi yang besar terhadap hasil tani dan ayam kampung serta ikan keli, projek ini diperluaskan dengan menambah kawasan berhampiran.

"Kami membelanjakan RM100,000 bagi memulakan projek ini, namun ternyata hasilnya sangat memberangsangkan apabila tahun lalu kami berjaya meraih hasil jualan keseluruhan RM600,000 melalui pengeluaran hasil lebih 200 tan.

"Kami memilih pertanian campuran atau integrasi kerana dapat mempelbagaikan hasil pendapatan, selain memastikan produk kekal relevan dengan permintaan pasaran.

"Kaedah mengusahakan tanaman serentak dengan aktiviti ternakan haiwan juga dapat membantu kami mengoptimumkan penggunaan tanah selain menjana pendapatan yang lebih baik," katanya ketika ditemui di ladangnya di Kampung Labu Hilir di sini, semalam.

Usahawan kelahiran Pahang yang kini menetap di Bangi Selangor itu berkata, pengalaman diterima daripada ahli keluarga yang mengusahakan bidang pertanian di kampung, digunakan sepenuhnya untuk menjayakan projek berkenaan.

Meskipun berhadapan pelbagai cabaran, terutama faktor ancaman haiwan perosak dan binatang liar, katanya, ia tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berusaha memajukan projek terbabit.

Katanya, permintaan terhadap tebu, pisang dan labu manis sentiasa tinggi dengan pemborong datang sendiri di ladang untuk membeli manakala sebahagiannya dipasarkan di Pasar Borong Selayang Selangor.

"Kami juga mendapat kerjasama baik daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam melancarkan lagi aktiviti pemasaran ini.

"Setakat ini, bekalan tidak cukup kerana permintaan sentiasa tinggi. Kami merancang untuk mengembangkan projek ini ke tahap berskala besar dan sedang berusaha mendapatkan tanah sekitar 40 hektar," katanya memaklumkan pihaknya menggunakan dron bagi melancarkan aktiviti pengurusan ladang, terutama dalam aspek siraman dan baja.

Mohd Farid berkata, ketika ini pengembangan projek dibuat secara berfasa dan sedang berusaha mencari rakan kongsi atau pelabur yang berminat untuk menjayakan projek berskala besar berkenaan.

"Kami berhasrat untuk mengintai peluang meneroka pasaran luar negara seperti China dan rantau Asia Tenggara, antaranya Singapura menerusi produk hiliran yang akan dikeluarkan tahun ini," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/01/1201653/bekas-tentera-usahakan-tanah-terbiar-kini-bergelar-usahawan-tani
Pages: [1]
View full version: Bekas tentera usahakan tanah terbiar kini bergelar usahawan tani


ADVERTISEMENT