mattzzx Publish time 17-1-2024 05:05 PM

Bomba Pulau Pinang terima 45 panggilan terjun jambatan dalam 2 tahun

https://assets.bharian.com.my/images/articles/17nt07bridg_1705471893.jpg
Bomba terima panggilan 16 kes terjun dari Jambatan Pulau Pinang tahun lalu, manakala 22 kes pada 2022. - Foto fail BERNAMA

GEORGETOWN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerima 45 panggilan kecemasan berhubung tugas mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terjun (ancaman bunuh diri) dari jambatan di negeri ini bagi tempoh dua tahun sejak 2022.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, PgKB Khairy Sulaiman, berkata daripada jumlah itu, 19 kes dilaporkan tahun lalu termasuk 13 mangsa lelaki.

Katanya, mangsa berusia antara 15 hingga 52 tahun yang mana 10 daripadanya berjaya diselamatkan, manakala sembilan lagi ditemukan maut.

"Tugas mencari dan menyelamat membabitkan 16 kes di Jambatan Pulau Pinang serta tiga di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah iaitu Jambatan Kedua Pulau Pinang.



"Sebanyak 12 kes berlaku di laluan Seberang Perai menghala Georgetown; empat dari Georgetown ke Seberang Perai; dua di Batu Kawan menghala Batu Maung dan satu di Batu Maung menghala ke Batu Kawan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu sepanjang 2022 pula, Khairy berkata, pihaknya menerima 26 panggilan kes mencari dan menyelamat mangsa terjun dari jambatan membabitkan 17 lelaki dan sembilan wanita.

Mangsa berusia antara 22 hingga 74 tahun yang mana 11 daripadanya berjaya diselamatkan manakala 15 lagi ditemukan maut.

"Sebanyak 22 kes membabitkan Jambatan Pulau Pinang manakala empat lagi di Jambatan Kedua.

"Sebanyak 18 kes dilapor berlaku di laluan Georgetown ke Seberang Perai manakala lapan lagi di Seberang Perai menghala ke Georgetown," katanya lagi.

Kes terkini membabitkan dua individu terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang sekitar jam 7 petang Isnin lalu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai PBK II Shahrul Munawer Taharen, berkata mangsa berusia 37 dan 40 tahun itu dikatakan bertelingkah di atas jambatan sebelum kedua-duanya terjatuh ke laut.

Orang awam bertindak terjun ke laut bagi menyelamatkan mangsa sebelum mereka dibawa menaiki bot oleh nelayan berhampiran lokasi.

Sementara itu Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin, berkata kes pasangan jatuh dari Jambatan Pulau Pinang itu diklasifikasikan sebagai cubaan bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/01/1201347/bomba-pulau-pinang-terima-45-panggilan-terjun-jambatan-dalam-2-tahun
Pages: [1]
View full version: Bomba Pulau Pinang terima 45 panggilan terjun jambatan dalam 2 tahun


ADVERTISEMENT