mattzzx Publish time 17-1-2024 12:39 PM

Dalang utama sindiket edar dadah ditahan bersama ibu, lima peluru hidup dirampas

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/ganjaa_1705465857.jpg
KAMARUL Zaman menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Dalang utama sindiket pengedaran dadah di daerah ini ditahan bersama ibunya yang berusia 61 tahun dalam operasi khas di sebuah pangsapuri di Larkin di sini, 10 Januari lalu.

Turut ditahan dalam serbuan jam 5.30 pagi adalah rakan wanita berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis yang menjalankan dua lagi serbuan susulan di pangsapuri sama dan sebuah rumah teres di Kangkar Pulai, Iskandar Puteri antara 12.30 tengah hari hingga 3.30 petang, Ahad lalu, turut merampas pelbagai jenis dadah berjumlah lebih RM1.23 juta.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menjadikan pangsapuri di kawasan berpagar dan berpengawal yang disewa sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.



"Kegiatan sindiket ini dipercayai sudah dimulakan sejak Oktober 2023," katanya ketika sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar.

Kamarul Zaman berkata, polis berjaya merampas lebih 24 kilogram (kg) dadah termasuk 16.47 kg serbuk ekstasi, 39 paket ganja, 1.77 gram syabu dan 0.59 gram pil erimin 5.

Katanya, turut dirampas peralatan mencetak pil ekstasi seperti mesin pencetak, pengisar, penimbang, loyang dan penapis.

"Kita turut merampas lima butir disyaki peluru hidup yang disembunyikan dalam mesin basuh di pangsapuri berkenaan ketika serbuan kedua dibuat.

Beliau berkata, suspek utama kes itu berusia 40 tahun didapati positif methamphetamine dan turut mempunyai 46 rekod lampau kes jenayah dan dadah serta dikehendaki polis bagi enam kes jenayah dan dadah.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/01/1051337/dalang-utama-sindiket-edar-dadah-ditahan-bersama-ibu-lima-peluru-hidup
Pages: [1]
View full version: Dalang utama sindiket edar dadah ditahan bersama ibu, lima peluru hidup dirampas


ADVERTISEMENT