mattzzx Publish time 16-1-2024 01:29 PM

Surau Kampung Parit Bangas pula terbakar

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/01/surau-terbakar-e1705378290805.jpeg
KEADAAN Surau Ar Nur Parit Bangas, Sri Medan, Batu Pahat selepas kejadian kebakaran kira-kira pukul 10 malam tadi.

BATU PAHAT – Kebakaran masjid dan surau di Sri Medan di daerah ini seolah-olah seperti kejadian bersiri apabila sebuah surau di Kampung Parit Bangas pula dilaporkan berlaku malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10 malam di surau berkenaan hampir serupa dengan kebakaran di Masjid Kampung Parit Simis malam kelmarin.

Katanya, satu kertas siasatan dibuka ke atas dua kejadian berkenaan dan akan disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api yang membawa hukuman penjara antara tujuh hingga 20 tahun serta denda jika sabit kesalahan.

“Sebelum itu, pada pukul 11.55 malam tadi anggota bertugas Balai Polis Sri Medan telah menerima maklumat daripada orang awam menyatakan Surau Ar Nur Parit Bangas, Sri Medan telah terbakar.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku lebih kurang pukul 10 malam yang disedari oleh seorang penduduk tempatan secara kebetulan melalui kawasan tersebut.

“Dengan bantuan penduduk berhampiran kebakaran berjaya dipadamkan 15 minit kemudiannya,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut Ismail lagi, hasil pemeriksaan mendapati sebahagian daripada karpet, dua pendingin hawa, perabot dan pendawaian telah musnah terbakar.

Ujarnya, Pasukan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan menjalankan siasatan punca sebenar kejadian.

“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkan ke mana-mana Balai Polis berhampiran atau Ketua Polis Balai, Balai Polis Seri Medan ditalian 07-4850222,” katanya.-KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/01/16/surau-kampung-parit-bangas-pula-terbakar/
Pages: [1]
View full version: Surau Kampung Parit Bangas pula terbakar


ADVERTISEMENT