mattzzx Publish time 15-1-2024 12:39 PM

Ketua Polis Negara sampaikan pingat keberanian kepada arwah ayah dan abangnya

https://assets.bharian.com.my/images/articles/120124nstViral01_1705276714.jpg
Tangkap layar daripada video TikTok

KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang memberi penghargaan dan menyampaikan pingat keberanian kepada dua insan yang amat disayangi iaitu arwah bapa dan abangnya yang pernah bertugas sebagai anggota polis, mendapat pujian daripada netizen.

Video yang dipercayai dirakam pada 21 Disember lalu dan berdurasi satu minit lapan saat itu menunjukkan Razarudin menganugerahkan penghormatan tertinggi dalam pasukan beruniform Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Pingat Jasa Wira Negara (P.J.P.N) kepada arwah bapanya, Koperal Husain @ Abdul Rashid Maarof, menerusi ibunya, Rahmah Abd Rahman.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyerahkan pingat keberanian itu kepada abangnya, Sarjan Abd Razak Husain yang sudah bersara atas jasa dan sumbangan mereka kepada negara.

Difahamkan, penghargaan yang dilakukan dalam sebuah majlis ringkas di kampung halamannya, Kampung Parit Seberang di Kuala Pilah, Negeri Sembilan atas sumbangan dan keberanian arwah bapanya sepanjang berkhidmat dalam pasukan dan memerangi komunis.



Dalam video yang ditonton hampir 300,000 pengguna di Tiktok, ia menunjukkan Razarudin memimpin erat tangan ibunya ketika berjalan meninggalkan pentas dan tidak segan untuk mencium pipi ibunya yang dilihat begitu menyentuh hati setiap orang.

Walaupun memegang jawatan paling tinggi di dalam PDRM, beliau tidak lupa meluangkan masa untuk menghargai insan yang mungkin menjadi pencetus kepada kejayaannya hari ini, sambil turut beramah mesra dengan penduduk di sekeliling.

Menerusi catatan di halaman rasmi PDRM, ia menyatakan bahawa Allahyarham Koperal Husain @ Abdul Rashid yang bersara, sudah berkhidmat dalam PDRM antara Oktober 1952 dan Mac 1985.

Beliau berkhidmat di beberapa kontinjen seperti Kelantan dan Selangor sebelum bersara dan kemudian meninggal dunia pada 23 Disember 2021 akibat sakit tua.

Sementara abangnya, Sarjan Abd Razak menyertai PDRM pada Mac 1977 dan bersara pada Januari 2015 pada jawatan terakhirnya di Balai Polis Bahau, Jempol, Negeri Sembilan.

    @igrazor Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT jua saya dapat menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (P.J.P.N.) kepada dua insan yang saya sayangi iaitu kepada ibu saya yang mewakili arwah ayah saya, Allahyarham pesara Koperal Husain @ Abdul Rashid Maarof dan abang kandung saya, pesara Sarjan Abd Razak Husain. Sesungguhnya, jasa dan bakti kedua-dua insan ini bukan sahaja kepada negara dan Pasukan, malah kepada kami sekeluarga khasnya. Saya berbangga mempunyai seorang ayah dan abang yang telah mencurahkan keringat baktinya kepada nusa serta bangsa. Terima kasih ayah, ibu dan abang. #igrazor #polisdirajamalaysia #pdrm #fyp ♬ Epic Music(804503) - Draganov89

Video itu tular dan mendapat banyak komen positif antaranya, Hanif Rajk yang menyatakan sekiranya arwah ayahnya masih hidup, beliau mesti berbangga dengan kejayaan anaknya yang menjawat jawatan tertinggi dalam PDRM.

Sementara itu, Suvinder Singh Durbara Singh, berkata tindakan beliau yang mengenang jasa ibu bapa yang sekian lama mendidiknya adalah penghormatan tertinggi buat mereka.

"Kami amat berbangga dengan Tan Sri. Semoga Tan Sri dapat membawa pasukan keselamatan ini ke peringkat tertinggi dan Tuhan merahmati Tan Sri sekeluarga,"katanya.

Bagi Chong Seng Ming, beliau mengucapkan tahniah kerana tidak lupa memberi penghormatan setinggi-tingginya kepada pesara polis yang sudah berbakti semasa memerangi pengganas komunis, lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/01/1200315/ketua-polis-negara-sampaikan-pingat-keberanian-kepada-arwah-ayah-dan
Pages: [1]
View full version: Ketua Polis Negara sampaikan pingat keberanian kepada arwah ayah dan abangnya


ADVERTISEMENT