mattzzx Publish time 11-1-2024 05:15 PM

Banjir Johor semakin baik, Kulai pulih sepenuhnya

https://assets.bharian.com.my/images/articles/BANJIR_DI_KOTA_TINGGI%2C_JOHOR_090124n01_1704963165.jpg
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU: Situasi banjir di Johor semakin pulih apabila semua daerah terjejas banjir di negeri itu mencatatkan jumlah mangsa banjir semakin berkurangan setakat jam 4 petang ini.

Malah, Kulai dilaporkan sudah pulih sepenuhnya daripada banjir apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di daerah itu ditutup sepenuhnya dengan 90 mangsa daripada 24 keluarga yang terakhir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata jumlah mangsa banjir kini di enam daerah terjejas di negeri ini berkurangan kepada 6,679 orang daripada 1,841 keluarga berbanding 6,985 orang membabitkan 1,937 keluarga pada tengah hari tadi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, PPS yang masih beroperasi di enam daerah terjejas juga tinggal 43 selepas empat PPS iaitu di Johor Bahru, Kluang, Segamat dan Kulai ditutup.



"Kota Tinggi kini mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 4,187 orang daripada 1,159 keluarga yang ditempatkan di 24 PPS.

"Johor Bahru pula menurun kepada 1,168 mangsa daripada 298 keluarga di enam PPS," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa banjir di Kluang pula menurun kepada 1,123 orang daripada 328 keluarga yang semuanya masih ditempatkan di tujuh PPS.

Katanya, Segamat juga menunjukkan penurunan kepada 95 mangsa daripada 28 keluarga yang masih berada di tiga PPS dan Pontian menurun kepada 17 orang kepada empat keluarga di satu PPS.

"Batu Pahat saja yang kekal dengan 83 mangsa daripada 24 keluarga di dua PPS," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, masing-masing satu jalan di Kota Tinggi, Mersing dan Kluang yang masih terjejas banjir selepas dinaiki air dan semuanya masih ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.

Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) pula tidak mengeluarkan sebarang amaran hujan atau ribut petir di mana-mana kawasan di negeri ini.

Sehingga petang ini, cuaca di semua daerah di negeri ini dilaporkan cerah kecuali Muar, Mersing dan Tangkak dilaporkan mendung.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/01/1199032/banjir-johor-semakin-baik-kulai-pulih-sepenuhnya
Pages: [1]
View full version: Banjir Johor semakin baik, Kulai pulih sepenuhnya


ADVERTISEMENT