mattzzx Publish time 11-1-2024 03:59 PM

4 hari lumpuh, aktiviti di pusat bandar Kota Tinggi beransur pulih

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/BANJIR_SURUT_DI_KOTA_TINGGI%2C_JOHOR_1704956156.jpg
KEADAAN di bandar Kota Tinggi kembali seperti biasa selepas banjir surut. FOTO Bernama

Kota Tinggi: Aktiviti di pusat bandar Kota Tinggi yang lumpuh akibat banjir sejak 7 Januari lepas, beransur pulih tengah hari ini.

Tinjauan Bernama di sekitar pusat bandar mendapati jalan-jalan utama yang sebelum ini dinaiki air hingga dua meter kini boleh dilalui oleh kenderaan ringan walaupun air belum surut sepenuhnya.

Turut kelihatan pemilik premis perniagaan dan pekerja mereka giat membersihkan premis masing-masing, walaupun bekalan elektrik belum disalurkan di beberapa tempat terutama di sekitar menara jam yang menjadi mercu tanda pusat bandar.

Beberapa pekerja yang ditemui Bernama berkata mereka menjangkakan operasi perniagaan bermula esok bergantung kepada bekalan elektrik.



Seorang pekerja premis menjual barangan elektrik Noraini Md Akim, 55, berkata, dia datang bekerja pada hari ini untuk membersihkan luar kedai yang dipenuhi lumpur dan kotoran banjir.

"Mujur air banjir tidak masuk ke kedai, jika tidak susah juga sebab banyak barang elektrik akan rosak," katanya.

Menurut Noraini, dia mengambil langkah berjaga-jaga kerana mendengar laporan air pasang besar akan berlaku lewat petang nanti.

"Hujan lebat pada 2 pagi tadi kemudian renyai sahaja, harap esok atau lusa air boleh surut habis," katanya.

Seorang pekerja kedai menjual pakaian vintaj Nik Nur Izwan Khairul Anuar berkata, banjir pada kali ini agak teruk jika dibandingkan dengan empat tahun kebelakangan ini.

Sebelum ini, katanya paras air banjir hanya pada tangga kedai berkenaan, namun pada kali ini hampir memasuki kedai.

"Kalau air naik lagi sekaki (30.48 sentimeter) habis baju dan kasut dalam kedai ini rosak dan kotor terkena air banjir," katanya.

Setakat 1 tengah hari tadi, jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan 6,932 orang dengan 4,221 daripadanya di Kota Tinggi.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/01/1049489/4-hari-lumpuh-aktiviti-di-pusat-bandar-kota-tinggi-beransur-pulih
Pages: [1]
View full version: 4 hari lumpuh, aktiviti di pusat bandar Kota Tinggi beransur pulih


ADVERTISEMENT