mattzzx Publish time 11-1-2024 03:50 PM

Kementerian bantu anggota dan veteran tentera terkesan banjir

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/dfgh333_1704948854.jpg
Adly menyampaikan sumbangan bakul Rahmah kepada wakil Anggota Tentera Malaysia (ATM) yang terjejas akibat banjir pada lawatan kerja pasca banjir di Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia, Kem Pengkalan Chepa. FOTO BERNAMA

Kota Bharu: Seramai 131 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terkesan dengan bencana banjir akibat fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang berlaku di Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, jumlah itu membabitkan seramai 49 anggota di bawah Briged Kelapan Infantri Malaysia manakala 47 veteran di Kelantan dan 35 veteran di Terengganu.

Katanya, bagi veteran ATM yang terjejas banjir di kedua-dua negeri itu, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan melihat beberapa aspek bantuan iaitu pembaikan rumah dan keperluan selepas banjir.

"Sekiranya ada rumah yang terjejas banjir yang membabitkan kerosakan, kami akan membuat penilaian membantu meringankan beban mereka.



"Kementerian Pertahanan sememangnya sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan anggota dan veteran," katanya dalam sidang media selepas Lawatan Pasca Banjir Peringkat Kelantan di Padang Kawad, Markas 8 Briged, Kem Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Briged Kelapan Infantri, Brigedier Jeneral Muzamil Ali.

Adly berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima laporan mengenai aset dan kem tentera yang mengalami kerosakan atau ditenggelami banjir.

"Pada tahun lalu, kementerian sudah membeli beberapa aset yang terkait untuk bantuan bencana.

"Jadi harapan kita dengan penyediaan aset ini lebih mudah digunakan untuk akses kepada rakyat terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Kita tahu sebahagian aset ketenteraan digunakan bagi tujuan operasi dan pada masa sama ia turut disesuaikan dengan keperluan lain bukan saja dapat digunakan untuk bencana tetapi juga operasi," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pada tahun lalu, JHEV ATM memperuntukkan sebanyak RM62,570,474.35 dan seramai 33,042 veteran ATM menerima manfaat daripada pelbagai skim kebajikan.

"Terdapat lima skim iaitu Bantuan Sara Hidup, Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi, Bantuan Peralatan Pesakit dan Bantuan Bencana Alam.

"Program bantuan kewangan ini diberikan bagi menjaga kebajikan veteran ATM dan tanggungan mereka yang berkelayakan agar dapat memperbaiki dan menjalani kehidupan yang lebih selesa," katanya.

Katanya, selain itu, Program Peduli Veteran di seluruh negara akan diteruskan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 800 program dilaksanakan setiap tahun.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/01/1049429/kementerian-bantu-anggota-dan-veteran-tentera-terkesan-banjir
Pages: [1]
View full version: Kementerian bantu anggota dan veteran tentera terkesan banjir


ADVERTISEMENT