mattzzx Publish time 10-1-2024 04:48 PM

Banjir makin surut, peniaga ambil peluang bersih kedai

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2024/01/IMG-20240110-WA0182.jpg
HASIM Jalil membersihkan Restoran Nasi Ayam Baser di pusat bandar Kota Tinggi.



KOTA TINGGI: Peniaga di pusat bandar ini mengambil peluang membersihkan kedai masing-masing berikutan banjir yang semakin surut hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kenderaan ringan masih tidak dibenarkan memasuki pusat bandar berikutan laluan utama masih digenangi air.

Orang ramai dilihat menggunakan laluan jambatan taman rekreasi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sungai Bang yang hanya boleh diakses pejalan kaki dan penunggang motosikal untuk ke kawasan pusat bandar.

Seorang pembantu kedai, Hasim Jalil, 51, berkata sejak 19 tahun bekerja di situ, ini adalah kali keempat mereka terjejas akibat banjir.

“Tahun ini air masuk ke kedai hingga paras lutut. Pada Ahad ketika kawasan bandar mula dinaiki air kami sempat juga berniaga sehingga petang sebelum air mula semakin tinggi.

“Jadi, sudah dua hari kami tidak beroperasi sepenuhnya kerana kawasan bandar tidak boleh masuk. Walau bagaimanapun, hari ini kawasan kedai kami airnya sudah surut sementara Jalan Tun Sri Lanang dan beberapa jalan lain masih digenangi air.

“Kami hanya buat kerja pembersihan sahaja kerana bekalan elektrik masih ditutup,tidak boleh buka kedai lagi,” katanya.

Katanya, banjir paling teruk pernah melanda kedai itu pada tahun 2006 dan 2007 ketika itu air mencecah ke paras dua bangunan itu.

“Banjir kali ini jika lihat lebih teruk sikit berbanding tahun lepas dan biasanya jika banjir biasa kedai kami tidak terjejas air hanya berada di kaki lima kedai.

“Mahu tidak mahu terpaksa hadap kerana banjir di Kota Tinggi ini memang berlaku hampir setiap tahun cuma bezanya teruk dengan tidak sahaja,” katanya. – UTUSAN
https://www.utusan.com.my/berita/2024/01/banjir-makin-surut-peniaga-ambil-peluang-bersih-kedai/
Pages: [1]
View full version: Banjir makin surut, peniaga ambil peluang bersih kedai


ADVERTISEMENT