mattzzx Publish time 10-1-2024 11:58 AM

'Pekatnya Seriram cakap Perak'

https://assets.bharian.com.my/images/articles/seriram_1704858582.jpg
V Seriram fasih bertutur loghat Perak Tengah setiap kali bersembang dengan orang Melayu. - NSTP/AZRUL EDHAMV

SEREMBAN: Apabila terdengar pelat 'pekat' sering dituturkan di kawasan Perak tengah keluar dari mulut lelaki ini, pasti banyak mata memandang.

Sebabnya dia berbangsa India dan tinggal pula di Sungai Gadut, tidak jauh dari bandar Senawang, di sini, bukannya di Perak.

Tanpa dipaksa atau nampak kekok, setiap kali berjumpa atau bersembang dengan orang Melayu, lidah V Seriram, 43, secara automatik akan menuturkan loghat Perak tengah itu dengan lancar.

Menurut Seriram, dia membesar dengan persekitaran perkampungan Melayu di Kampung Dobi, Pekan Lama, Batu Gajah, Perak sejak berusia dua tahun, menyebabkannya sudah terbiasa dengan dialek itu.



"Saya dibesarkan dalam persekitaran yang ada ramai orang Melayu, banyak bergaul dengan mereka. Dari situ, saya bercakap pelat Perak dengan orang sekampung dan rakan sekolah.

"Dengan orang Melayu, saya memang akan cakap dalam loghat Perak, dengan keluarga atau rakan India, saya masih guna bahasa Tamil," katanya yang pernah disalah sangka sebagai orang Melayu atau 'mamak'.

"Pernah sekali saya ke kedai, tanya harga barang dalam dialek Perak. Penjaga kedai tanya saya orang apa kerana bahasa Melayu dialek Perak agak pekat. Apa bangsa pun, saya anak jati Perak, bangga dapat bertutur dialek ini. 'Teman orang Perak'," kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Ditanya bagaimana berhijrah ke Negeri Sembilan, Seriram yang berkahwin dengan wanita pilihannya, S Kanageswary, 34, pada 2021, berkata dia berpindah ke Seremban enam bulan lalu.

"Isteri saya asal sini, kami berpindah ke Seremban kerana mahu berubat. Tangan saya kini tidak seperti manusia normal selepas kemalangan pada 2012 ketika pulang dari tempat kerja, urat bahu cedera parah.

"Akibat insiden itu, tangan kiri tak boleh berfungsi dan saya kini berstatus orang kurang upaya (OKU). Dengan keadaan fizikal kini, susah untuk cari kerja. Saya kini hanya kerja sambilan sebagai pengawal keselamatan, isteri kerja kilang bagi menampung kehidupan kami.

"Dulu pernah bekerja sebagai pelayan restoran di ibu negara. Jika ada mana-mana pihak yang mahu membuka ruang untuk saya bekerja tetap, saya sangat mengalu-alukannya," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/01/1198455/pekatnya-seriram-cakap-perak
Pages: [1]
View full version: 'Pekatnya Seriram cakap Perak'


ADVERTISEMENT