mattzzx Publish time 10-1-2024 09:28 AM

Banjir: Jumlah mangsa di Johor terus meningkat

https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2024/01/WhatsApp-Image-2024-01-10-at-8.21.23-AM.jpeg
PASUKAN penyelamat mengeluarkan mangsa yang terperangkap di sekitar bandar Kota Tinggi, Johor yang dinaiki air sejak malam semalam.

JOHOR BAHRU – Fenomena air pasang besar di daerah Kota Tinggi menyebabkan jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat kepada 8,221 mangsa ditempatkan di 53 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka seluruh Johor.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, jumlah itu melibatkan seramai 2,275 buah keluarga.

Menurut beliau, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding seramai 7,965 mangsa daripada 2,201 keluarga pada pukul 9 malam, semalam.

“Kota Tinggi kekal daerah paling terjejas ketika ini dengan seramai 4,730 mangsa dipindahkan ke 26 buah PPS, diikuti Johor Bahru dengan seramai 1,976 mangsa di 12 buah PPS.

“Manakala Kluang menyaksikan seramai 1,308 mangsa ditempatkan di 9 PPS, Segamat seramai 99 mangsa di empat buah PPS, Kulai seramai 86 mangsa di sebuah PPS dan Pontian seramai 22 mangsa di sebuah PPS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Azmi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor turut memberitahu, banjir di negeri ini tidak menyebabkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa setakat ini.

“Sementara itu, Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran ribut petir di kebanyakan daerah negeri ini, hari ini, manakala tiga sungai di negeri ini telah mencapai paras air berbahaya iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang serta Sungai Kepala Orang dan Sungai Johor di Kota Tinggi,” ujarnya.

Azmi turut memberitahu, ketika ini tujuh laluan telah ditutup sepenuhnya dengan enam daripadanya di Kota Tinggi antaranya Jalan Sungai Telor, Jalan Semanggar Dalam, Jalan Kampung Kelantan dan Jalan Mawai Lama, manakala satu laluan di Mersing adalah Jalan Tanah Abang. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/01/10/banjir-jumlah-mangsa-di-johor-terus-meningkat/
Pages: [1]
View full version: Banjir: Jumlah mangsa di Johor terus meningkat


ADVERTISEMENT